Tuesday, December 29, 2015

Nekad tinggal jawatan pengurus




Nekad tinggal jawatan pengurus
Syafiq mengunting rambut pelanggan di dalam kontena.
ALOR GAJAH - Dia pernah didatangi lelaki yang berambut panjang dan tidak terurus, namun tidak dihalau malah diajak lelaki itu berbual sehingga berjaya memotong rambut lelaki itu mengikut gaya potongan klasik.
Muhammad Syafiq Ab Rahim, 23, berkata, peristiwa itu antara kenangan yang tidak dapat dilupakan sejak mengusahakan kedai gunting rambut yang dinamakan Kick Start dalam sebuah kontena yang bernilai RM20,000 sejak Jun lalu.
Menceritakan kembali, Muhammad  Syafiq berkata, lelaki terbabit menjadi tidak terurus setelah putus cinta sebelum dia kemudian mengajak lelaki terbabit masuk ke dalam kontena miliknya yang terletak berdekatan perhentian bas Alor Gajah Sentral dan memberi kata-kata semangat.
Katanya, melihat senyuman dan perubahan pada lelaki itu memberi satu kepuasan kepada dirinya sehingga dia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada individu itu.
“Saya rasa satu kepuasan apabila dapat mengubah lelaki itu.
“Namun saya kurang gemar menggunting rambut sekiranya pelanggan banyak bercakap kerana boleh mengganggu fokus,” katanya.
Muhammad Syafiq yang juga anak jati Alor Gajah berkata, hasratnya untuk menukar kerjaya daripada seorang pengurus syarikat swasta kepada tukang gunting rambut pernah mendapat tentangan keluarga terutama ibunya memandangkan pendapatan yang diperoleh ketika itu sebanyak RM6,000 sebulan berbanding kerjaya sebagai gunting rambut.
Menurutnya, dia yakin dengan adanya kemahuan dan kegigihan mampu mengubah segalanya dan kerana itu dia memberanikan diri menukar kerjaya dengan bermodalkan sebuah kanopi dan mengusahakan perniagaan itu sejak tahun lalu.
Katanya, bermula hanya di bawah kanopi dia kini mampu memberi keselesaan kepada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa dengan menyediakan kontena sendiri tanpa perlu menyewa kedai seperti orang lain, sekali gus memberi tarikan serta kelainan kepada kedai gunting rambut di negeri ini.
“Mulanya saya agak ragu-ragu untuk memulakan perniagaan ini tapi selepas menjelajah beberapa negara untuk menimba ilmu dalam bidang itu baru ada kekuatan dan semangat.
“Saya juga telah berjumpa dengan ramai tukang gunting rambut mahir yang sememangnya popular ketika penjelajahan saya termasuk tukang gunting rambut popular di Australia yang diusahakan oleh seorang bekas banduan,” katanya.
Jelas anak sulung daripada tiga beradik itu, dia yang membuka kedai bermula jam 5 petang hingga 12 malam menerima lebih 20 pelanggan setiap hari dan kebanyakan pelanggan terdiri penuntut universiti sekitar daerah ini.
“Alhamdulillah sambutan menggalakkan dan saya hanya menerima pelanggan lelaki saja.. saya harap dapat besarkan lagi kedai ini untuk keselesaan pelanggan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: