Nor Aini (kiri) menerima sijil pengiktirafan Guinness World Record bagi piramid buku terbesar dihasilkan PPANPK yang disampaikan oleh Anna (dua, kiri).
IPOH - Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPK) memecahkan rekod dunia selepas berjaya membina piramid buku terbesar, semalam.
Usaha menyusun 70,247 buku pelbagai genre itu dilakukan selama tujuh hari bermula 19 Disember lalu sempena Bos Gaurus Book Fest di Stadium Indera Mulia, di sini.
Kejayaan itu disaksikan dan disahkan oleh Juri Guinness World Record, Anna Lewis Orford, sekali gus memadamkan rekod Kedai Buku Ernster di Luxembourg dengan 63,377 buku April lalu.
Projek PPANPK dengan kerjasama Imagika Sdn Bhd itu diusahakan sebagai inisiatif membudayakan minat membaca tanpa mengira usia.
Pengarah PPANPK, Nor Aini Mohd Nordin berkata, pengumpulan buku bermula pada November seterusnya melalui proses seperti melabel, membuat senarai semak dan saiz serta ketebalan buku.
Menurutnya, pihaknya menerima 20,000 buku daripada orang ramai termasuk pengedar serta penerbit buku, manakala selebihnya disumbangkan oleh PPANPK.
“Banyak cabaran dihadapi sepanjang menyusun buku-buku ini kerana terpaksa ambil kira saiz piramid selain keluasan lokasi.
“Ia adalah proses yang panjang dan memenatkan. Kami perlu pastikan tapak piramid kukuh serta bertahan sepanjang proses menyusun hingga hari penjurian,” katanya ketika sidang media di sini semalam.
Beliau berkata, dua pasukan terdiri daripada 40 sukarelawan dan kakitangan PPANPK bekerja tanpa henti malah bertugas mengikut syif.
Katanya, hasil komitmen, kerjasama dan semangat luar biasa diberikan, mereka berjaya menyiapkan piramid buku terbanyak dalam tempoh tujuh hari.
Menurutnya, kesemua buku itu akan disumbangkan kembali kepada rumah anak yatim di bawah kelolaan kerajaan negeri dan beberapa institusi yang pernah memohon sebelum ini.
Sementara itu, Anna berkata, kejayaan PPANPK itu adalah rekod kelima dicipta selepas Kedai Buku di Luxembourg.
Katanya, apabila sesuatu rekod dicipta melalui Guinness World Record, individu atau kumpulan tersebut akan meletakkan keistimewaan mereka di tahap tertinggi dan memberi inspirasi kepada masyarakat dunia.
“Kita berharap pencapaian ini akan memberi semangat kepada orang ramai terutamanya kanak-kanak untuk berkunjung ke perpustakaan.
“PPANPK berjaya mematuhi semua kriteria ditetapkan antaranya susunan tidak guna sebarang pelekat, guna buku malah menunjukkan kejayaan dalam aspek kejuruteraan apabila piramid dibina, tidak runtuh,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menerima 1,000 permohonan seminggu, 10 peratus akan dinilai manakala hanya satu peratus berjaya dicatatkan dalam Guinness World Record.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: