Wednesday, December 30, 2015

Pomade serlah penampilan lelaki




Pomade serlah penampilan lelaki

SEIRING peredaran zaman, perapi rambut mengalami proses transformasi dan ia terbahagi kepada beberapa segmen seperti minyak, krim, wax dan pelbagai lagi.
Terdapat perapi rambut yang kini trending dalam kalangan lelaki di negara ini dikenali ‘pomade’.
Pomade semakin popular berbanding perapi lain kerana selain mengekalkan stail rambut si pemakai, ia juga membuatkan rambut kelihatan lebih bersinar.
Salah seorang pengguna pomade, Mohd Safwan Nizam Mohamad Rahim, 27, berkata, sebelum menggunakan pomade, dia menggunakan perapi rambut lain.
“Pada mulanya, saya hanya suka-suka memakai pomade. Namun, lama-kelamaan setelah mencubanya, saya rasa selesa pula memakainya. Sudah hampir tiga tahun saya menggunakannya,” katanya.
Dia kini mudah untuk menggayakan pelbagai fesyen rambut yang popular dengan menggunakan promade.
Rambut tidak rosak
Bagi Mohd Anwar Syafiq Shahruddin, 28, memilih pomade kerana ia mempunyai pelbagai kelebihan.
“Setelah memakai pomade ini, saya dapati rambut saya tidak kering dan rosak. Sesetengah perapi menyebabkan rambut saya gugur, tetapi pomade ni sesuai dengan kulit kepala saya.
"Pomade terdiri daripada pelbagai jenis dan saya menggunakan water based pomade,” katanya.
Seorang lagi pengguna pomade Mohamad Hafiz Mohamad Idris, 29, berkata, kekerapan menukar stail rambut menyebabkan dia menggunakan perapi rambut tersebut.
“Saya berjumpa dengan pelanggan hampir setiap hari. Oleh itu, saya perlu menjaga penampilan diri terutama rambut.
“Jadi, saya menggunakan pomade untuk memastikan rambut saya sentiasa tersisir rapi,” katanya.
Memandangkan terdapat pelbagai produk pomade berada di pasaran, dia hanya membeli pomade pada harga berpatutan.
“Bagi saya, pomade keluaran tempatan mempunyai kualiti setaraf keluaran luar negara,” katanya.   
Jual pomade kerana yakin dengan perapi tersebut
Sementara itu, penjual pomade Muhammad Nur Ihsan Hussin, 25, mengakui menceburi perniagaan pomade kira-kira sebulan lalu secara tidak sengaja.
“Rambut saya ini jenis tebal dan mengerbang. Jadi, saya cari perapi rambut sesuai dan pomade sangat sesuai dengan rambut saya.
“Setelah berpuas hati menggunakan pomade, saya cuba perkenalkan perapi ini kepada kawan-kawan. Alhamdulillah, ramai kawan-kawan juga sukakan perapi ini,” katanya.
Pomade terdiri daripada dua jenis iaitu water based dan oil based dan terdapat beberapa perbezaan di antara kedua-dua pomade ini.
“Oil based pomade tahan lebih lama daripada water based pomade. Water based pomade senang ditanggalkan daripada rambut dengan sekali cucian.
“Manakala bagi oil based pomade pula, pengguna perlu membasuh rambutnya beberapa kali sebelum ia benar-benar tertanggal daripada rambut. Ini kerana, bahan untuk membuat pomade jenis ini adalah bahan yang kalis air seperti minyak parafin, bahan mineral dan lain-lain lagi,” katanya.
Terdapat banyak jenama pomade dari dalam dan luar negara yang dijual di Malaysia ketika ini. Harga pomade bergantung berdasarkan kualiti serta jenama produk itu sendiri.
“Produk pomade tempatan yang popular adalah Stilvoll, Rockabilly, VVIP Pomade dan lain-lain lagi. Manakala, produk pomade import yang popular adalah Reuzel, Shiner Gold, Suavecito dan lain-lain lagi.
“Kesemua produk ini dijual dengan harga dalam lingkungan RM35 hingga RM100,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: