Tuesday, December 29, 2015

Pengarah Perhilitan Johor didakwa curi sumbu badak




Sumbu
Sumbu badak milik Muzium Diraja Johor yang dipercayai dicuri seorang penjawat awam berpangkat pengarah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor tempoh hari.
JOHOR BAHRU - Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, petang tadi atas tuduhan mengambil sumbu badak milik Muzium Diraja Johor, Oktober lalu.
Yusof Shariff, 46, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.
Tertuduh didakwa mengambil sumbu badak yang disimpan di bahagian hadapan Muzium Diraja Johor, Bangunan Sultan Ibrahim tanpa kebenaran sah pada 19 Oktober lepas pada jam 2.30 petang.
Yusof, yang baharu sahaja bertukar dari Terengganu ke negeri ini Ogos lalu, didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di Balai Polis Johor Jaya setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hakim menetapkan 31 Januari sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.
Pada 25 Disember, tertuduh ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, dekat sini, pada 9 malam selepas dipercayai mencuri sumbu badak berusia lebih 100 tahun milik Muzium Diraja Johor, Oktober lepas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: