Pemenang Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) Bulan Oktober Kamariah Abu Bakar, 73, (baju hijau) dan keluarga bersama Mercedes E300 yang dimenanginya pada Majlis Penyampaian Cabutan SSP BSN Bulanan dan Tempatan semalam. Hadiah tersebut disampaikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
SEORANG warga emas tidak menyangka amalan menyimpan melalui Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak lima tahun lepas melayakkannya memenangi sebuah kereta Mercedes E300 bernilai kira-kira RM200,000.
Kamariah Abu Bakar, 73, dari Kampung Pantai Belimbing, Alor Gajah dekat sini berkata buat permulaan ibu kepada tujuh anak itu menyimpan sebanyak RM8,000 dan kemudian menambah simpanannya setiap bulan sehingga kira-kira mencecah RM13,000 dalam tempoh tersebut.
“Makcik memang suka menyimpan walaupun sedikit makcik tetap menyimpan, simpanan tersebut hasil pemberian anak-anak setiap bulan.
“Makcik memang tidak terkejut kerana memang tahu tentang program cabutan SSP BSN ini tapi tidak menyangka akan menjadi pemenang utama bulan Oktober, memang berbaloi menyimpan sebegini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Cabutan SSP BSN Bulanan dan Tempatan di sini.
Hadiah tersebut disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan majlis turut dihadiri Pengarah Perniagaan negeri BSN Roslin Marjumin.
Suri rumah itu berkata beliau mendapat makluman tentang kejayaannya memenangi hadiah cabutan utama itu melalui panggilan telefon oleh pihak BSN pada 2 Disember lepas.
Bagi pemenang Cabutan Tempatan, Tan Jun Cheng, 49, dari Bukit Katil di sini berkata memenangi Proton Axia adalah hadiah terkesan dalam hidupnya kerana sebelum ini tidak pernah memenangi hadiah cabutan bertuah walaupun nilai kecil.
Katanya beliau hanya menyimpan RM3,000 menerusi SSP BSN dalam masa 10 tahun dan tidak menyangka amalan tersebut membawa tuah kepadanya.
“Saya tidak sangka akan memang kereta. Walaupun hanya Axia tetapi ia sudah kira mewah untuk saya dan memang berbaloi menyimpan dengan SSP BNS,” kata guru yang mengajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Johor.
Tan berkata kereta berkenaan akan digunakannya bagi menggantikan kereta jenama Hyundai yang telah digunakan hampir tujuh tahun lepas untuk berulang-alik antara Melaka dan Batu Pahat pada waktu cuti.
Sementara itu, Roslin berkata hadiah cabutan berkenaan merupakan penghargaan BSN kepada pelanggan yang menyimpan menerusi SSP BSN selain sebagai galakkan kepada mereka untuk terus menyimpan pada masa hadapan.
“BSN sentiasa menghargai pelanggannya dan pelbagai cabutan bertuah dibuat antaranya cabutan bertuah bulanan, tempatan dan mingguan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk SSP bernilai RM1,000,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: