Saturday, December 26, 2015

Butang panik di Seremban Prima




Butang panik di Seremban Prima
Anggota keselamatan bermotosikal bergegas ke lokasi butang panik diaktifkan untuk memberi bantuan.
BAYANGKAN, anda baru selesai membeli-belah dan sedang berjalan sendirian menuju ke arah kenderaan yang diletakkan di bahagian tingkat bawah tanah.
Tiba-tiba, anda terasa seperti diekori seseorang. Tetapi, anda sama sekali tidak berani menoleh ke belakang ekoran bimbang individu itu akan bertindak agresif.
Tatkala itu, peluh jantan betina mula membasahi diri. Terasa terlalu jauh untuk sampai ke kereta, walhal hanya beberapa meter di depan mata.
Degupan jantung semakin kencang, langkah pun bertambah laju. Pelbagai kemungkinan berlegar di minda.
Dalam hati, timbul seribu satu penyesalan kerana menolak ajakan teman untuk bersiar-siar di Taman Tasik Seremban.
Andai itu yang dipilih, sudah tentu semua ini dapat dielakkan. Namun itulah resam manusia, kita tidak berupaya meramal masa depan.
Kini, apa yang mampu dilakukan sekadar berserah pada takdir. Langkah demi langkah dirasakan bertambah berat, seolah-olah memikul beban lagaknya.
Anda semakin menghampiri kenderaan. Malangnya, lelaki misteri itu juga semakin dekat dan tampak mempercepatkan lagi langkahnya.
Hendak meminta bantuan, tiada siapa di situ. Suratan atau kebetulan, itu soalan yang anda sendiri tidak pasti jawapannya.
Dalam keadaan cemas dan penuh debaran, anda terpandang satu butang merah yang melekat pada tiang bersebelahan kereta di parkir.
Tertulis di situ ‘Panic Button’. Tanpa berlengah dan berfikir panjang, anda terus menekan butang tersebut.
Maka terdengarlah laungan siren yang cukup menyengat dan memekakkan telinga memenuhi segenap ruang kawasan meletak kenderaan terbabit.
Sejurus itu, kelihatan seorang pengawal keselamatan menunggang motosikal bergegas ke lokasi anda.
Ternyata lelaki yang mengekori anda mempunyai niat tidak baik. Dia tampak terkejut dengan situasi itu lantas membuka langkah seribu.
Anda menghela nafas penuh kelegaan. Bersyukur tidak terhingga pada ILAHI kerana terselamat daripada menjadi mangsa kerakusan penjenayah.
Begitulah gambaran kegunaan butang panik yang disediakan di pasar raya Seremban Prima di Jalan Datuk Bandar Tunggal, Seremban.
Sambung ke bilik kawalan
Bagi mendapatkan penerangan lanjut, Sinar Harian bertemu Pengurus Bahagian Keselamatan Seremban Prima, Mohamed Ali Datuk Dawood.
Menurut beliau, sistem keselamatan berkenaan mula dipasang pada 2013 ketika bangunan pasar raya berusia 17 tahun itu menjalani proses pengubahsuaian dan penjenamaan semula.
“Semua sekali, kita ada 66 unit butang panik. 16 di kawasan meletak kenderaan tingkat bawah tanah, 23 di tingkat tiga manakala 27 lagi di tingkat empat.
“Bila butang ditekan, kamera litar tertutup berteknologi pintar jenis Pan, Tilt and Zoom ( PTZ) akan fokus serta-merta pada lokasi terlibat. Pada masa sama, penggera turut berbunyi dalam bilik kawalan keselamatan yang beroperasi 24 jam,” katanya.
Selain bertujuan mencegah jenayah, katanya, butang panik juga boleh digunakan ketika berdepan lain-lain situasi kecemasan misalnya pengunjung kena serangan jantung dan sebagainya.
“Siren ini tidak akan berhenti sehinggalah anggota bertugas datang dan tutup balik secara manual di kawasan tersebut, manakala anggota di bilik kawalan perlu set semula dalam sistem dengan cara memasukkan laporan insiden berlaku.
“Alhamdulillah, setakat ini belum ada kejadian tidak diingini. Walaupun butang panik tidak digunakan, kita tetap menjalankan ujian secara berkala untuk memastikannya berfungsi dengan baik pada setiap masa,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Datuk Abd Halim Abd Latif berpandangan, pemasangan butang panik atau siren dalam kawasan meletak kenderaan sangat digalakkan.
“Kita lihat langkah dilaksanakan Seremban Prima merupakan sebahagian sumbangan pihak swasta terhadap usaha kerajaan dalam mewujudkan bandar selamat.
“Cara sebegini mampu membanteras jenayah terutama di tempat sunyi dan gelap. Siren juga boleh dipasang di lokasi tertentu di pusat bandar khususnya kawasan pejalan kaki,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: