RAYANI Air yang membuat penerbangan sulung 20 Disember lalu mencuri tumpuan dunia apabila memilih untuk menjadi syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia.
Meskipun begitu, usaha pasangan Ravi Alagendran dan Karthiyani Govindan tetap menerima respons positif dan negatif dari seluruh pelosok dunia.
Berikut lima perkara yang anda perlu tahu tentang syarikat penerbangan baharu yang memilih Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di Langkawi sebagai pusat operasi mereka.
1.Patuh syariat Islam
Bermakna, syarikat penerbangan ini mematuhi undang-undang Islam. Selain menyajikan menu halal, doa perjalanan juga dibacakan sebelum pesawat berlepas.
Syarikat penerbangan ini turut tidak membenarkan makanan dan minuman tidak halal dihidangkan dalam penerbangan.
Selain itu, semua anak kapal yang beragama Islam turut diwajibkan menutup aurat manakala bagi yang bukan beragama Islam perlu berpakaian sopan.
Namun menurut pengasasnya, penerbangan itu tetap mengalu-alukan penumpang daripada mana-mana kepercayaan.
2. Bukan penerbangan Islamik pertama di dunia
Ada beberapa syarikat penerbangan dari negara-negara Islam yang menggariskan syariat Islam dalam menu dan peraturan termasuk Royal Brunie, Saudi Arabian dan Iran.
Firnas Airways yang merancang untuk melancarkan penerbangan ke Asia Selatan tahun depan juga menawarkan menu halal dan tiada minuman alkohol dihidangkan dalam penerbangan serta menggunakan kewangan tanpa faedah yang mengikut syariat Islam.
3.Pemiliknya bukan Islam
Media India melaporkan pengasas penerbangan itu, Ravi dan isterinya, Karthiyani beragama Hindu.
Melalui laporan media juga, Ravi berkata dalam rangka untuk mereka menembusi pasaran orang Islam yang gemar melancong, penerbangannya juga mesti menarik penumpang lain.
4. Jangan keliru dengan penerbangan Ireland
Nama penerbangan ini seakan-akan penerbangan kos rendah Ireland, RyanAir namun nama Rayani Air diambil sempena nama pasangan pengasasnya, Ravi dan Karthiyani.
5. Bercita-cita tinggi
Rayani Air menawarkan penerbangan domestik ke Langkawi dan Kota Bharu dari Klia2 serta merancang untuk menambah lagi lokasi penerbangan ke Kota Kinabalu dan Kuching serta beberapa destinasi lain Januari hadapan.
Menerima lesen perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Rayani Air menggunakan dua pesawat lama Boeing 737-400 yang mampu menempatkan 188 penumpang.
Syarikat penerbangan ini mempunyai 350 kakitangan dan merancang untuk menambah penerbangan ke Indonesia dan Filipina dalam masa akan datang.
Rayani Air juga menetapkan sasaran 10 tahun untuk mewujudkan rangkaian bagi memanfaatkan pasaran umrah dan haji.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: