Wednesday, December 23, 2015

Sisi antagonis Amyra Rosli



Amyra Rosli
Amyra Rosli
PELAKON remaja popular ini mengakui perjalanannya sebagai anak seni kini semakin bersinar.
Kerana itu, dia sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap lakonannya sementelah wajahnya sering menghiasi layar skrin tempatan.
Namun, langit tidak selalunya cerah, ini kerana meskipun dia sering diberikan pujian tetapi sudah menjadi lumrah sebagai selebriti, empunya nama Nur Amira Izzati Rosli ini turut menjadi mangsa kritikan dan dibenci segelintir peminatnya.
Apa pun, semua itu hanya kerana watak yang dipegangnya menerusi drama bersiri Tersuka Tanpa Sengaja terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd yang sedang popular di Astro Ria.
Memainkan karakter sebagai Katrina, akui pelakon yang lebih dikenali sebagai Amyra Rosli ini, ia merupakan lakonan keduanya sebagai wanita psiko selepas drama bersiri Astana Cinta Aleesa.
"Rasanya agak lama saya tidak tampil dengan watak sebegini. Mungkin ramai yang lupakan kemampuan saya menjadi antagonis.
"Kerana itu, saya memilih watak Katrina berbanding Farhah yang merupakan watak utama dalam drama bersiri tersebut," katanya kapada Zass.
Berkongsi lanjut, kata pelakon berusia 24 tahun ini, dia bagaimanapun tidak kisah dibenci peminat rentetan keberkesanan menjadi Katrina.
"Biasanya peminat lebih gemar melihat sisi baik, keanak-anakan dan manja dalam lakonan saya.
"Jadi apabila menjadi Katrina, memang responsnya di luar jangkaan. Rata-rata komen di laman sosial sangat memeranjatkan dan mereka benar-benar membenci Katrina," katanya.
Jelas Amyra, menjadi Katrina juga tidak sesukar yang disangka.
"Saya diberi pilihan sama ada melakonkan watak Farhah atau Katrina. Memang Katrina hanya watak kedua, tetapi kerana kelainan watak tersebut, saya terimanya.
"Lagi pun saya suka bermain dengan watak, bagi saya ia adalah ruang untuk menginterpretasikan penghayatan dan penjiwaan kita sebagai pelakon.
"Bagaimanapun, Katrina tidaklah terlalu psiko seperti watak Zaleha," katanya.
Ujar Amyra juga, pengalamannya berlakon bersama Emma Maembong dan Hafreez Adam menerusi drama itu juga cukup menyeronokkan.
"Mereka memang best, waktu pembikinan rasanya ada gelak tawa bersama. Seronok berlakon dengan mereka," katanya.

Korban rambut
Demi merealisasikan watak Katrina juga, Amyra sanggup memotong rambutnya menjadi pendek.
"Saya dah simpan rambut selama empat tahun, tetapi saya dengan rela hati memotongnya demi drama ini.
"Memang saya sayang, tetapi sebagai pelakon serba boleh, saya akan cuba melakukan apa yang diperlukan untuk sesebuah watak itu.
"Jadi, apabila penerbit, Datuk Rosyam Nor meminta saya untuk tampil dengan wajah baharu, saya turutkan sahaja," katanya.
Bercerita penglibatannya sebagai penyanyi runut bunyi drama tersebut, Cerita Kita bersama Amar Baharin, kata Amyra, ia juga tidak disengajakan.
"Pihak produksi mahukan penyanyi untuk runut bunyi tersebut, kebetulan mereka ada menonton video nyanyian saya bersama Amar di You Tube dan terus meminta kami menyanyikannya.
"Saya dan Amar pula tidak menolak dan mencubanya sahaja. Lagi pun lagu tersebut sebuah lagu yang 'catchy' dan tidak memerlukan vokal yang tinggi seperti lagu-lagu lain," katanya.
Bakal mengakhiri tahun 2015, pelakon yang digosipkan mempunyai hubungan istimewa bersama Amar Baharin ini mengakui, tahun hadapan bakal memberi wajah baharu kepada kariernya.
"Insya-ALLAH, saya akan muncul dengan beberapa filem. Antaranya Kau Yang Satu, tetapi menerusi filem itu watak saya hanya watak kecil.
"Bagaimanapun, saya sebenarnya telah mendapat tawaran untuk memegang watak utama dalam sebuah filem.
"Cuma, saya masih belum boleh dedahkan dan tunggu sahajalah nanti," kata pelakon Dhia Sofea ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: