Saturday, December 26, 2015

Revolusi penjimatan minyak terbaharu




Revolusi penjimatan minyak terbaharu
Amir (kiri) dan Ali Sadiqin menunjukkan alat yang mampu menjimatkan minyak kenderaan.
BAHAN api elemen penting bagi mereka yang mempunyai kenderaan bermotor untuk memudahkan pergerakan seharian kerana setiap bulan orang ramai memperuntukkan sejumlah wang bagi memenuhi keperluan kenderaan.
Melihat potensi pasaran lebih luas, Amiran Technology Sdn Bhd (Amiran Technology) memikirkan cara bagi mengurangkan masalah itu sekali gus mencipta produk lebih praktikal seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat.
Syarikat yang diterajui Ali Sadiqin Mohamed Noor selaku Pengarah Urusannya dan Ketua Pegawai Teknologinya, Amir Ahmad membuat inovasi dengan membangunkan alat penjimat kenderaan yang bukan semata-mata menjimatkan kenderaan tetapi juga sebagai tenaga boleh diperbaharui, dikenali sebagai SynFuel Energy Hybrid Gas Generator.
Alat mengaplikasikan sistem elektrolisis itu hanya menggunakan air dan ia direka dengan sistem panel indikator air tanpa menggunakan wayar.
Idea itu mula timbul pada 2009  dan Amiran Technology mula membangunkan inovasi alat itu setahun kemudian.

Jimat 40 peratus
Mereka membelanjakan lebih RM1 juta untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi projek tenaga diperbaharui iaitu hydrodynamic fuels (biofuels) powered by wave cavitation reactor dan mencipta SynFuel Energy Hybrid Gas Generator berkualiti tinggi, mesra pengguna yang selamat serta mesra alam.
Alat itu  diuji pada lebih 20 kenderaan berkapasiti enjin 1.3 cc hingga 3.0cc untuk perjalanan lebih 150,000 kilometer (km).
Berdasarkan ujian itu, alat ini mampu menjimatkan minyak kenderaan antara 25 hingga 40 peratus, bergantung kepada penggunaannya.
“Ia boleh meningkatkan prestasi enjin dan kecekapan bahan api disebabkan pembakaran penuh pada enjin. Biasanya, pembakaran dalam enjin tidak sepenuhnya, sekitar antara 50 hingga 55 peratus.
“Namun, dengan SynFuel Energy Hybrid Gas Generator, kira-kira 97 hingga 98 peratus pembakaran minyak dalam enjin kenderaan menyebabkan kenderaan itu boleh pergi lebih banyak kilometer,” katanya.
SynFuel Energy Hybrid Gas Generator turut menjimatkan kos menyelenggara melibatkan penukaran minyak hitam yang biasanya dijalankan setiap 5,000km atau 7,000km perjalanan. 
Alat ini mampu menjangkau lebih 10,000km sehingga 15,000km perjalanan sebelum setiap penambahan air dilakukan.
Amir berkata, alat itu turut dilengkapi sistem penahan api sekaligus menjamin keselamatan alat tersebut digunapakai dan sesuai bagi aplikasi enjin permotoran.
“Sistem penahan api ini selamat kerana ia tidak akan mengganggu sistem enjin. Tambahan pula, Amiran Technology tidak memasang alat ini pada ruangan enjin, sebaliknya ia diletakkan dalam bonet yang hanya memakan ruangan kecil,” katanya.
Menurutnya, syarikat itu menggunakan bahan berkualiti tinggi bagi menghasilkan SynFuel Energy Hybrid Gas Generator antaranya daripada bahan aloi tahan karat.
“Untuk ketahanan bahan bagi casing alat ini, Sirim mengesahkan ia mampu bertahan sehingga 50 tahun,” katanya.
Kini, Amiran Technology dalam proses  ujian minyak, prestasi dan sebagainya terhadap SynFuel Energy Hybrid Gas Generator yang dibuat oleh Sirim bagi laporan teknologi peringkat pengkomersilan.
Ali Sadiqin berkata, SynFuel Energy Hybrid Gas Generator menerusi model GX-200 dijangka memasuki pasaran suku pertama tahun depan bagi kenderaan di bawah 3.0cc yang dijual pada harga RM1,298 seunit.
Produk ini turut mendapat pengiktirafan Sijil Hijau Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan menerima Skim Galakan Taraf Perintis dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida). 
Amiran Technology juga kini beroperasi di bawah skim inkubator inovasi dan pengkormesilan Technology Park Malaysia serta berkolaborasi bersama TPM Engineering Sdn Bhd bagi pembuatan komponen berteknologi tinggi dan aspek pengkormesilan produk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: