Thursday, December 24, 2015

Pengemis kutip RM200 dalam masa sejam



Pemgemis kutip RM200 dalam masa sejam
Yati membawa anak meminta sedekah
ALOR SETAR - Pengemis di sekitar Alor Setar memperoleh kutipan mencecah RM200 dalam masa sejam dengan berbekalkan penampilan yang  meraih simpati orang ramai.
Yati (bukan nama sebenar), 30, menjadikan kawasan bank di Jalan Sultanah sebagai lokasi untuk mendapatkan wang segera.
Dia yang membawa anak bongsu berusia setahun enam bulan mendakwa terpaksa berbuat demikian sejak lima bulan lepas disebabkan suami tidak mampu bekerja akibat masalah kesihatan.
Pada mulanya, Yati memaklumkan wang hasil meminta sedekah berkenaan dihabiskan setiap hari untuk keperluan hari mereka anak beranak.
Bagaimanapun, dia akhirnya membuka cerita wang diperolehi  dihabiskan suaminya untuk bermain judi.
“Wang digunakan suami untuk permainan memancing (sejenis judi). Adakalanya, dia tidak menang, namun bila menang wang digunakan untuk perbelanjaan keluarga,” katanya.
Yati dan anak perempuan adalah antara lapan pengemis diselamatkan dalam pemeriksaan di Pasar Malam Tandop, Pasar Malam hadapan Pasaraya Pacific dan bank sekitar Bandar Alor Setar, kelmarin.
Untuk itu, Yati diberikan amaran dan disiasat Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001 kerana dikhuatiri mengabaikan anak perempuannya sedemikian.
Dapat 40 peratus komisen hasil derma
Berlainan pula, taktik digunakan seorang lagi wanita ketika diselamatkan dalam Ops Bersepadu Membanteras Aktiviti Pengemisan daerah Kota Setar 2015 itu.
Wanita dikenali sebagai Siti, 53, dari Sik meletakkan antara lima ke enam tong tabung derma untuk kutipan wang asrama sebuah institusi pengajian.
Melalui pemeriksaan dilakukan, dia didapati telah menerima wang derma dari orang awam lebih kurang RM93.55 dalam tempoh beberapa jam mengutip derma itu.
Dia dan suaminya berusia 54 tahun memaklumkan menyara kehidupan mereka tujuh beranak hasil komisen tabung kutipan dana di merata-rata pasar malam.
“Kami akan dapat 40 peratus dari duit derma dikutip berkenaan. Jikalau, ada orang awam memberi derma RM10, maka dapatlah upah dalam RM4.
“Paling banyak, kami mampu memperolehi antara RM70 hingga RM80 dengan mengutip derma sebegini untuk menyara anak berusia antara 6 hingga 23 tahun,” katanya.
Ketika cuba diselamatkan di Pasar Malan Tandop, wanita berkenaan cuba mengambil masa selama 15 minit dengan berjalan-jalan sekitar kawasan seolah-olah cuba melarikan diri.
Hidup mewah dengan meminta sedekah
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, kebanyakan pengemis memberi alasan faktor desakan hidup membuatkan mereka meminta sedekah sedemikian.
Bagaimanapun, katanya, aktiviti pengemisan kini tidak lagi kerana desakan hidup, sebaliknya ia dilihat sebagai kerjaya dan sumber pendapatan.
Malah, Syahrul berkata, aktiviti pengemisan dilihat cara mudah dan alternatif terbaru digunakan pihak tertentu, seperti sindiket pengemisan demi menjalani kehidupan mewah.
Terdahulu, kira-kira 71 penguatkuasa pelbagai jabatan kerajaan, termasuklah Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dan Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) membabitkan diri dalam operasi itu.
Turut serta, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Malaysian Relief Agency (MRA) untuk memeriksa kesihatan pengemis diselamatkan dalam operasi itu.
Katanya, pihak mereka menasihatkan orang awam tidak menderma sewenang-wenangnya, sebaliknya menggunakan saluran betul demi membantu dalam menangani isu pengemis sebegini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: