Shahrir bersama penerima bantuan persekolahan pada program Kembali Ke Sekolah 2016 Parlimen Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU - Melakukan dua pekerjaan bukan penyelesaian terbaik bagi mengukuhkan ekonomi golongan berpendapatan rendah kerana dikhuatiri menambah kos sampingan selain turut mengganggu masa kualiti bersama keluarga.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, langkah terbaik adalah dengan menggalakkan masyarakat meningkatkan pendapatan keluarga menerusi perniagaan yang beroperasi dari rumah.
“Kalau buat dua kerja ibu bapa terpaksa menanggung kos tambahan untuk hantar anak ke pusat jagaan dan ini akan menjadi tekanan kepada rakyat.
“Keadaan ini juga akan menimbulkan masalah apabila ibu bapa kurang meluangkan masa bersama keluarga dan tidak dapat memantau anak-anak dengan baik.
“Sebab itu, kita mahu masyarakat melakukan kerja dari rumah dan kerajaan telah menyediakan banyak program bimbingan dan bantuan usahawan untuk galakkan masyarakat berniaga dari rumah contohnya menerusi program 1 Azam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah 2016 Parlimen Johor Bahru di Dewan Raya Kampung Dato’ Onn di sini, semalam.
Turut hadir, Adun Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru.
Selain itu Shahrir berkata, jumlah golongan keluarga miskin di negara ini semakin berkurangan namun jurang pendapatan antara golongan kaya dan berpendapatan rendah masih membimbangkan.
“Ini adalah masalah yang dialami negara dan perlu memikirkan penyelesaiannya.
“Antara langkah-langkah kerajaan sebagai contoh pemberian subsidi yang diubah sebelum ini secara pukal dan sekarang lebih tertumpu golongan sasaran menerusi pengagihan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M),” katanya.
Dalam pada itu katanya, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi mengagihkan bantuan persekolahan menerusi empat program Kembali Ke Sekolah 2016 yang dijalankan Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Johor Bahru dengan kerjasama beberapa syarikat korporat tempatan.
“Seramai 600 pelajar sekitar Parlimen Johor Bahru dipilih sebagai penerima sumbangan berbentuk barangan keperluan sekolah dan wang tunai,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: