Tuesday, December 22, 2015

Sungai ‘hisap’ kaki penduduk




Sungai ‘hisap’ kaki penduduk

SUNGAI Isap, sebutan nama yang agak pelik sekali gus menggambarkan perkara yang boleh dianggap negatif, hakikatnya menyimpan cerita yang menarik.
Kawasan ini ternyata antara lokasi yang cukup dikenali bukan sahaja di Kuantan malahan seluruh Pahang.
Kebanyakan nama sama ada tempat, kampung atau jalan mempunyai sejarah tersendiri sama ada bersandarkan nama pengasas, tanaman dan sebarang benda sekitar yang terdapat di kawasan tersebut.
Salasilah Sungai Isap dikatakan berasal daripada sungai yang terdapat di kawasan di mana ia dibuka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Isap, Abdul Mubin Abdul Rahim, 55, berkata, Sungai Isap itu dikatakan berasal daripada keadaan persekitaran sungai yang ada di kampung tersebut.
“Kira-kira 50 tahun lalu, ia sebuah kampung yang berpaya bakau dan gambut.
“Mengikut cerita orang kampung tradisi di sini, dia mendapat nama apabila sungai ini berada di dalam kawasan berselut dan bila dipijak ia akan menyedut kaki.
“Disebabkan kejadian tersebut berlaku setiap kali penduduk masuk kawasan berselut itu maka penduduk awal menyebutkan sebagai kawasan menghisap, tapi lama-kelamaan sebutan tu jadi lebih ringkas dan yang tinggal sekarang hanyalah Isap sahaja.
Jadi lubuk rezeki penduduk
Menurutnya, kawasan sungai itu adalah lokasi penduduk asal mendapatkan sumber makanan dan pengangkutan air.
“Walaupun selut di kawasan baran (paya bakau) tersebut hisap sesiapa yang memijaknya tapi ia tetap jadi lubuk rezeki mereka yang menetap di kawasan kampung ini,” katanya yang merupakan ketua kampung keempat Sungai Isap.
Beliau berkata, terdapat segelintir masyarakat yang pelik dengan nama perkampungan ini dan sesetengahnya menganggap sebagai sesuatu yang negatif.
“Tidak kurang juga mengejek dan memperlekehkan kewujudan Sungai Isap disebabkan namanya yang turut dianggap seakan lucah.
“Ini kerana kurangnya pengetahuan dan perasaan ambil tahu tentang pengertian nama dan asal penempatan di daerah ini, dan rata-ratanya orang luar dari Pahang atau luar negara,” katanya.
Pelbagai kemudahan disediakan
Dalam pada itu, Abdul Mubin berkata, Perkampungan Sungai Isap yang termasuk dalam kategori kampung tersusun dan kampung tradisi ini mengetengahkan moto ‘Muafakat Sepakat Pastinya Berkat’ dalam pentadbiran dan kehidupan kejiranan.
“Kebanyakan penduduk bekerja dalam bidang profesional seperti doktor, pensyarah, jurutera dan peguam, malahan terdapat juga pegawai kerajaan, guru, polis, askar, kontraktor dan peniaga.
“Di sini juga terdapat satu pondok polis yang baharu dibina, tujuh lot permainan kanak-kanak, enam padang bola, lima gelanggang permainan dan sebuah klinik desa bagi pemeriksaan ibu mengandung.
“Selain itu, penduduk juga aktif menjalankan aktiviti gotong-royong seperti membersihkan kawasan persekitaran sungai, perumahan dan juga kawasan kampung dalam beberapa program bersama beberapa agensi kerajaan sama ada di peringkat kampung hingga negeri,” katanya.
Terperangkap dalam selut
Sementara itu, bekas ketua kampung kedua diera 80-an, Mohd Sulong Muda turut sudi berkongsi serba sedikit info daripada orang terdahulu yang rata-ratanya sudah meninggal dunia.
Mohd Sulong berkata, Sungai Isap dibuka oleh ketua kampung pertama iaitu Mohd Yatim Awang Noh ketika kawasan tersebut berada di bawah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Rashid Rahman.
“Versi yang saya peroleh juga sama di mana selut yang terdapat di tepi dan dalam sungai menyedut kaki sesiapa sahaja yang terpacak hingga lekat serta tak mampu bergerak.
“Ada juga yang beritahu kalau tak kena gaya ada juga penduduk dan orang terperangkap kerana dihisap selut tersebut meninggal kerana air pasang dan tak dapat selamatkan diri.
"Sebab itu, kawasan menghisap ini jadi bualan dan buah mulut orang hinggakan akhirnya untuk memudahkan Sungai Menghisap tersebut ringkasnya diberikan nama sebagai Sungai Isap sahaja,” katanya.
Dicatat dalam profil K1M
Sungai Isap juga dicatatkan dalam profil Komuniti 1Malaysia (K1M) bagi menjadi rujukan dan pengetahuan generasi akan datang.
Secara ringkasnya, Sungai Isap terletak dalam mukim Kuala Kuantan 2, di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Lumpur berada di tengah antara perkampungan Permatang Badak dan Tanah Putih Baru, disaliri air sungai yang sama mengalir ke Sungai Kuantan.
Mengikut demografi yang dibuat sehingga Jun 2015, Sungai Isap mempunyai keluasan tanah yang diusahakan seluas 610 hektar manakala keluasan tanah yang terbiar kira-kira 90 hektar.
Konsep susun atur terbahagi kepada dua di mana kawasan asal Sungai Isap (tradisi) menempatkan rumah berselerak dan sejajar manakala perumahan Sungai Isap meliputi tujuh perkampungan iaitu Satu, Dua, Perdana, Perdana 2, Jaya, Damai dan Taman Murni.
Jumlah penduduk di gugusan Sungai Isap ialah kira-kira 18,401 orang yang juga dianggarkan meliputi 3,734 keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: