Saturday, December 26, 2015

45 bayi berkongsi tarikh lahir Rasulullah SAW




45 bayi berkongsi tarikh lahir Rasulullah SAW
Antara bayi yang dilahirkan di HSNZ semalam sekaligus berkongsi tarikh lahir dengan Rasulullah SAW.
KUALA TERENGGANU -  Seramai 45 ‘Permata Maulidur Rasul’ lahir di hospital-hospital di negeri ini semalam, bersamaan dengan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu pada 12 Rabiul Awal.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar berkata, daripada jumlah itu, 19 daripadanya adalah bayi lelaki manakala 26 bayi perempuan sehingga jam 5 petang semalam.
“Bayi pertama pula dilahirkan pada jam 7.08 minit petang semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah ( HSNZ),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengiringi Speaker Dun, Datuk Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Osman Muda melawat Pusat Rawatan Ibu dan Bayi di HSNZ sempena Maulidul Rasul, semalam.
Manakala di HSNZ pula 32 bayi dilahirkan iaitu seramai 14 lelaki dan 18 perempuan.
Bagi pasangan Romiza Zakaria, 23, dan suami, Mohd Ramzul Ihsan Mohd, 27, mereka berasa bertuah kerana bayi sulung mereka dilahirkan pada tarikh istimewa itu dan merupakan bayi pertama di negeri ini.
Menurut Romiza, pada awalnya, dia menyangka sakit perut yang dialami hanyalah sakit biasa tetapi mula risau kerana sakit perut yang berpanjangan dan meminta keluarga membawanya ke klinik berdekatan sebelum ke HSNZ.
“Saya dijangka bersalin pada 6 Januari, tetapi tidak sangka pula bersalin lebih seminggu awal. Malah lebih istimewa, saya melahirkan bayi sulung ini pada tarikh 12 Rabiul Awal,” katanya yang hanya berada di wad bersalin selama 18 minit sebelum melahirkan bayi perempuan seberat 2.7 kilogram (kg). 
Mohd Ramzul Ihsan yang merupakan juruteknik berkata, dia bergegas pulang dari Singapura sebaik sahaja mendapat panggilan mengejut dari isterinya yang memaklumkan mengalami tanda-tanda awal sakit bersalin.
“Saya berharap, anak sulung yang belum diberi nama ini membesar menjadi anak yang solehah,” katanya dari Tok Jembal, Kuala Terengganu .
Manakala bagi Norhasliza  Mustafa, 25, sakit yang dialami selama tiga hari berbaloi kerana bayi sulungnya seberat 2.6kg lahir jam 4.15 pagi, pada hari istimewa.
Menurutnya, sepatutnya bayi perempuan sulungnya itu lahir pada 26 Disember.
“Saya bersyukur… kesakitan yang dialami berbaloi kerana bersalin pada hari bersejarah ini.  Saya dan suami bercadang ingin menamakan anak sulung,  Dhia Nur Raisya,” katanya yang turut ditemani suaminya, Ahmad Shukri Mohd Saleh, 25.
Sementara itu, bagi Mutazimah Mohamad, 25, dari Ketengah Jaya, Dungun, kelahiran anak kelimanya amat istimewa kerana dilahirkan pada hari istimewa sempena dengan Maulidur Rasul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: