PENGARUH penyanyi lagu ketuhanan, Opick di negara ini sememangnya tidak dinafikan.
Mana tidaknya, setiap kali tampil membuat konsert di Malaysia, peminat tempatan tidak melepaskan peluang turut serta menyaksikan sendiri aksinya di pentas.
Selain memiliki karya yang mampu menyentuh hati pendengarnya, persembahan bertenaga juga merupakan kelebihan buat pencipta lagu Dealova ini memikat hati penggemar muziknya.
Malam Kalimah Cinta yang berlangsung malam Rabu lalu nyata berjaya memukau penonton yang hadir memenuhi ruang Panggung Sari, Istana Budaya.
Konsert yang dianjurkan sempena sambutan Maulidur Rasul itu mula membuka tirai tepat jam 9 malam dengan persembahan lagu medley Tafakur dan Ya Nabi Salam.
Persembahan awal yang memukau turut diiringi kumpulan pemuzik, Tombo Ati yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Persembahan medley diteruskan dengan lagu Assalamualaikum dan Rumput Bertasbih dengan alunan muzik yang cukup meriah.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang meraikan Maulidur Rasul dengan persembahan istimewa bersama kalian semua.
“Ini satu kebahagiaan luar biasa kerana di kesempatan ini juga saya dapat merasai sendiri beraksi di pentas berprestij ini,” luahnya.
Terus memuji kemuliaan Rasulullah SAW, Opick menyajikan penonton dengan seleksi lagu Ya Maulana, Salam Ya Rosulullah, Ya Muhammad Ya Rosulullah, Ya Robbibil Mustofa, Dealova dan Cahaya Hati.
Berselang seli dengan persembahan, Opick berkongsi kisah-kisah tauladan yang mampu menyemarakkan lagi rasa cinta dan kasih saya terhadap Rasulullah SAW sekali gus persembahan pada malam itu dilihat berjaya mencapai matlamatnya.
Tidak keseorangan, Opick turut mengundang juara Gegar Vaganza 2 (GV2), Siti Nordiana untuk menyampaikan lagu duet Maha Melihat menggantikan Melly Goeslaw sebagai penyanyi asalnya.
Bagi menyerikan lagi persembahan itu, seorang lagi penyanyi iaitu Ronnie Hessein turut diundang ke pentas untuk menyanyikan lagu duet Ya Rasulullah sebelum diberi ruang menyampaikan lagu hit Dikoyak Waktu.
Pada kemuncak konsert, Opick turut mempertaruhkan nyanyian lagu-lagi hit seperti Rapuh, Bila waktu Tlah Memanggil, Takdir, Syukur Karunia, Ketika Cinta Memanggil, Ingat-Ingatlah, Ubat Hati dan Alhamdulillah sebelum menyampaikan lagu Sholu Ala Muhammad sebagai persembahan penutup.
Persembahan istimewa
Berpuas hati dengan perjalanan konsert, Opick menganggap ia sebagai satu persembahan istimewa buatnya pada tahun ini.
“Syukur, saya senang sekali dan berpuas hati pada malam ini.
“Biarpun saya hanya berpeluang membuat persembahan hanya pada malam ini, itu sudah cukup membuatkan saya rasa bahagia kerana segala mesej yang mahu sampaikan telah diterima penonton dengan baik sekali.
“Kalau kita bahagia menyambut ulang tahun insan yang kita sayang, kenapa tidak kita turut raikan hari istimewa Maulidur Rasul sedangkan Rasulullah SAW juga yang patut kita raikan.
“Bagi saya persembahan seperti ini sangat bagus menjadi santapan yang bermanfaat untuk kita semua,” katanya.
Tambah Opick, kehadiran tetamu undangan, Siti Nordiana dan Ronnie Hussein turut berjaya mewarnai persembahannya pada malam itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: