Walaupun kepah sudah berkurangan tetapi hasilnya masih tidak mengecewakan pengunjung yang datang dari jauh untuk mengutipnya.
ROMPIN – Fenomena kepah kulit putih atau lebih dikenali penduduk tempatan dengan nama ‘Anak Oghen’ yang terdampar memenuhi pantai di Kampung Serinkin, di sini sejak 20 Disember lalu menyebabkan ia dipenuhi pengunjung yang mahu mengutipnya hingga ia menjadi seperti satu pesta.
Bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan di kampung-kampung sepanjang jalan dari Kuala Rompin hingga ke Tanjung Gemok, tetapi ia juga dikunjungi penduduk dari gugusan Felda Keratong, Muadzam Shah dan Mersing, Johor.
Seorang penduduk Kampung Janglau, Rosli Harun, 45, berkata, kepah kulit putih itu lebih banyak sejak Ahad lalu yang boleh dikutip atas pantai dengan begitu mudah.
“Baru semalam (kelmarin) saya turun ke pantai untuk mengutip Anak Oghen ini dan ketika tiba di pantai saya terkejut kerana kepah ini boleh dikutip dengan begitu mudah atau boleh menggunakan pencakar untuk lebih cepat.
“Saya hanya mengutipnya untuk dimakan bersama keluarga tetapi kawan saya yang mengutip sama berjaya mengumpul sebanyak empat guni yang bersaiz 50 kilogram (kg),” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, fenomena itu agak pelik kerana sebelum ini tidak pernah lagi terjadi ribuan kepah kulit putih terdampar di pantai.
Viral di laman sosial
Fenomena aneh yang pertama kali berlaku itu turut tersebar di media sosial hinggakan seorang penduduk Kampung Pianggu, Jaafarudin Yasin, 49, mendapat tahu mengenainya selepas dihubungi anaknya yang tinggal di Sintok, Kedah selepas melihatnya di laman sosial facebook.
“Mula-mula ada seorang kawan datang dan menceritakan mengenai fenomena ini tetapi saya tidak ambil peduli tetapi selepas anak saya yang tinggal di Sintok, Kedah menghubungi dan memberitahu mengenainya, petang semalam terus saya ke pantai Kampung Serinkin untuk mengutip sama.
“Saya dapat hampir 10kg tetapi hari ini saya lihat sudah berkurangan kerana mungkin sudah dibawa ombak atau terdampar di kawasan pantai lain disebabkan ada yang memaklumkan air sudah mula pasang,” katanya.
Beliau yang tidak pernah makan hidupan laut spesies kerang itu tidak menafikan rasanya agak sedap kerana manis dan keluarganya memilih untuk memasaknya dengan menggoreng bersama cili api atau masak lemak cili api.
Isi kepah manis dan sedap
Seorang pengunjung dari Johor, Sarina Mahmud, 44, berkata, selama 20 tahun menetap di Endau, beliau tidak pernah melihat fenomena aneh sedemikian dan tidak mahu terlepas untuk turut sama berpesta mengutip kepah kulit putih itu.
“Hari ini (semalam) sudah kali kedua saya datang ke sini dan orang-orang lain yang datang mengutip sama masih lagi ramai seperti ia mula-mula terdampar tetapi kepah sudah semakin berkurangan dan perlu mencarinya di gigi air atau dalam pasir. Semalam (kelmarin) dapat dalam 40kg sebab boleh kaut dengan tangan sahaja tetapi hari ini tidak sampai separuh guni pun.
“Saya mengutip kepah ini hanya untuk makan bersama keluarga dan juga mengambil peluang untuk berseronok bersama keluarga kerana ia bagaikan pesta disebabkan ramai sangat yang datang dari pelbagai tempat untuk mengutip kepah ini,” katanya.
Beliau yang tidak pernah makan kepah jenis kulit putih berkenaan dan ini merupakan kali pertama tidak menafikan rasa isinya manis serta sedap jika dimasak lemak kuning atau goreng kuning namun perlu direndam terlebih dahulu untuk membuang pasir yang terdapat dalam isinya.
Mungkin akibat musim ombak besar
Sementara itu, Ketua Kampung Jawa, Mohd Mahdee Adon yang ditemui berkata, fenomena aneh itu jarang terjadi kerana sebelum ini ia ditemui di pantai tetapi bukan dalam kuantiti yang banyak selain sudah tidak berisi.
Menurutnya, kali ini berbeza kerana ia terdampar di atas pantai dalam kuantiti yang sangat banyak mungkin mencecah puluhan ribu selain masih hidup dan berisi sekali gus boleh dimasak serta dimakan.
“Saya perasan kepah kulit putih dan nipis ini atau lebih dikenali penduduk tempatan dengan gelaran Anak Oghen ini mula naik di kawasan pantai Sungai Batang Putih, Kampung Serinkin pada Ahad lalu seterusnya hingga semalam (kelmarin) masih banyak di tempat yang sama.
“Hari ini (semalam), ia baru timbul di tempat lain tetapi semakin berkurangan,” katanya.
Menurutnya, hidupan laut spesies kerang itu tidak selalu naik ke pantai dan sebelum ini yang hanya ditemui di pantai hanya kulitnya yang sekali gus menyebabkan penduduk membiarkan ia begitu sahaja.
Katanya, kemungkinan fenomena aneh itu berlaku disebabkan musim ombak besar kerana sebelum ini fasa pertama ombak kuat, kerang jenis bulu atau darah naik di pantai Chedoq, Batu 8 tetapi tidak lama.
Jabatan perikanan anggap fenomena biasa
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Adnan Hussain yang dihubungi menolak sebarang kejadian aneh berikutan kejadian ribuan kepah berkulit putih yang terdampar di pantai itu sebaliknya menegaskan ia hanya fenomena biasa yang berlaku secara kebetulan.
“Sebelum ini kejadian yang seakan sama pernah terjadi di Terengganu tetapi yang terdampar itu adalah kerang manakala yang terdampar di pantai Kampung Serinkin ini pula spesies seperti kepah atau remis tetapi berkulit putih.
“Semua jenis hidupan di air yang spesies begini dipanggil kerang-kerangan yang sifatnya tidak bergerak sendiri sebaliknya bergerak menggunakan faktor arus,” katanya.
Adnan berkata, melihat pada keadaan cuaca buat masa ini iaitu angin kencang dan yang terkini difahamkan air mula untuk pasang besar, kemungkinan angin kencang tersebut telah memberi kesan pada ombak yang seterusnya menghasilkan pergerakan arus yang kebetulan lalu di habitat kepah- kepah itu sekali gus menolak kesemuanya ke darat.
"Saya harap masyarakat tidak gusar kerana kepah tersebut selamat untuk dimakan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: