Saturday, December 26, 2015

Nabila Huda Ambil Masa Enam Bulan Pikat Suami




Nabila Huda mendedahkan mengambil masa selama enam bulan memikat hati suaminya, Mohd Izwan Johar selepas diperkenalkan oleh sahabatnya dua tahun lalu. 
SHAH ALAM: Pelakon Nabila Huda mendedahkan mengambil masa selama enam bulan memikat hati suaminya, Mohd Izwan Johar selepas diperkenalkan oleh sahabatnya dua tahun lalu.
Nabila, 31, berkata, dia memberanikan diri meluahkan perasaannya kepada lelaki itu selepas terpikat dengan sikap kesederhanaan yang ada pada Mohd Izwan.

"Enam bulan pertama perkenalan kami dia tidak pernah sekali pun cuba memikat saya dan hubungan kami sekadar teman biasa sahaja ketika itu.

"Bagaimanapun saya mula terpikat kepada sifat kesederhanaan yang ada padanya selain dia sangat baik dan berbeza daripada lelaki lain jadi saya memberanikan diri meluahkan perasaan kepadanya," katanya .
Nabila dan Izwan berkenalan dua tahun lalu.
Terdahulu, Nabila dan Mohd Izwan, 32, selamat disatukan sebagai suami-isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.
Akad nikah dilakukan sendiri oleh bapa Nabila iaitu penyanyi Amy Search disaksikan oleh jurunikah di masjid berkenaan, Khairuddin Haiyon.

Nabila turut menerima mas kahwin berjumlah RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Dalam pada itu, Nabila mengakui memikat hati Mohd Izwan yang juga pemilik sebuah restoran melalui masakan sehingga sanggup menelefon ibunya untuk meminta resepi masakan kegemaran lelaki itu.
Izwan menyarungkan cincin ke jari Nabila selepas sah bergelar suami-isteri.
"Alhamdulillah dia tidak pernah cakap masakan saya tidak sedap cuma dia seorang yang sukar meluahkan perasaannya.
"Sebagai contoh kalau dia cakap 'I Love You' kepada saya, ia adalah satu perkara penting dan bermakna buat saya," katanya.

Tambah Nabila, Mohd Izwan adalah satu-satunya lelaki yang dapat melembutkan hatinya selain sentiasa menerima nasihatnya. Tiada lelaki yang mampu buat saya rasa seperti itu melainkan Mohd Izwan," katanya.

Sementara itu, Nabila berkata, sebelum ini dia tidak terbuka tentang hubungannya dengan Mohd Izwan kerana ingin mengelak timbul cerita kurang enak yang membawa kepada fitnah.
Hubungan Izwan rapat dengan anak Nabila iaitu Keisha hasil daripada perkahwinan terdahulu.
Tambah Nabila, ketika itu juga mereka masih belum mempunyai ikatan sah dan enggan menghebahkan dan memilih hari bahagianya untuk mendedahkan suaminya itu.
"Kami tiada ikatan jadi saya fikir buat apa hendak hebahkan kepada orang perkara yang belum tentu jadi atau pun tidak.

"Alhamdulillah jodoh kami dan hari ini adalah paling sesuai untuk saya perkenalkannya secara terbuka dengan selepas kami dinikahkan," jelasnya.

Kata Nabila lagi, anaknya, Keisha Laila juga sangat rapat dengan Mohd Izwan biarpun pada awalnya dia agak keliru apabila mendapat tahu dia bakal berkahwin dengan lelaki itu.
Pasangan ini masih belum membuat keputusan tentang bulan madu.
Dalam perkembangan sama, Mohd Izwan ketika ditemui berkata, dia tertarik dengan sifat keibuan yang ada pada Nabila selain menyifatkan isterinya itu sebagai penyayang dan baik hati.
Jelasnya lagi, dia tidak kisah dengan apa yang diperkatakan tentang Nabila sebelum ini kerana sepanjang mengenalinya wanita itu bukan seperti digambarkan.

"Orang luar lihat dia sebagai pelakon tetapi saya kenal dia sebagai seorang ibu yang baik hati dan penyayang.

"Apa sahaja diperkatakan tentangnya atau penilaian masyarakat terhadap gambar di laman sosialnya langsung tidak menunjukkan sifat peribadinya yang sebenar," ujarnya.
Majlis akad nikah disempurnakan oleh bapa Nabila sendiri iaitu penyanyi Amy Search.
Tambah Mohd Izwan, sebagai suami dia akan menyokong kerjaya Nabila dalam bidang lakonan dan tidak meletakkan sebarang syarat kerana yakin isterinya itu akan menyesuaikan diri.
Dalam perkembangan lain, pasangan berkenaan bakal diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang diadakan di rumah pengantin lelaki pada malam Sabtu (malam ini) di Shah Alam.

Terdahulu, Nabila sebelum ini pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani, 34, namun mereka bercerai pada 2011 selepas tiga tahun bersama.

Hasil perkahwinan itu mereka mendapat seorang anak perempuan iaitu Keisha Laila yang kini berusia lima tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: