Nasi campur dan aneka hidangan lain dijual Rozlinda (kanan) sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.
DIA hanyalah wanita biasa, tetapi yang menjadikan dia luar biasa adalah semangat untuk terus maju dalam bidang perniagaan yang diceburi selepas tamat belajar di sekolah menengah.
Walaupun pernah gagal ketika menjalankan perniagaan antaranya barangan plastik, pakaian, kedai runcit dan khemah, bagaimanapun keadaan itu tidak mematahkan semangat ibu tunggal ini bagi membuktikan dia mampu berjaya dalam perniagaan, walaupun hanya dikelilingi anak-anak sebagai tonggak kekuatannya.
Selepas berdepan satu demi satu kegagalan, Rozlinda Zakaria, 42, kini berniaga nasi campur, di samping pelbagai hidangan lain antaranya nasi kerabu dan nasi dagang yang popular dalam kalangan masyarakat setempat.
Rozlinda berkata, lokasi strategik di tengah laluan Kuala Krai - Kota Bharu dan berhampiran dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai, membuatkan jualannya laris.
Katanya, dia yang boleh memasak pelbagai jenis masakan panas, turut menerima tempahan katering daripada masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, walaupun baru memulakan perniagaan ini, namun rezeki sentiasa berpihak kepada saya. Pada Ramadan lalu, saya turut berniaga. Sambutan yang diterima begitu membanggakan, mungkin rezeki anak-anak,” katanya.
Menurutnya, yang berniaga dari awal pagi hingga jam 6 petang, sambutan menggalakkan daripada pelanggan membuatkan dia berhasrat mencari kedai lebih besar dalam masa terdekat.
“Jika hasrat memiliki kedai ini berjaya, saya akan memasak masakan panas untuk pelanggan. Sejak dari dahulu lagi saya suka memasak sendiri untuk pelanggan,” katanya.
Rozlinda berkata, dia dan tujuh anaknya tinggal di kedai yang disewa, sekali gus memudahkan dia membuka peniagaan lebih awal dan menyediakan nasi serta lauk-pauk untuk dijual.
Katanya, gerai disewanya itu bukan sahaja mendatangkan rezeki buat dirinya, tetapi juga wanita lain yang turut meletakkan kuih di gerainya untuk dijual.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: