Monday, December 28, 2015

Isteri untuk dijual, kisah penuh pengajaran




Isteri untuk dijual, kisah penuh pengajaran

DALAM percintaan, tak semuanya indah. Dalam percintaan juga, kita belajar menerima kelemahan dan kekurangan pasangan.
Namun ada di antara insan yang bercinta gemar memandang rupa paras tanpa mengambil kira hati budi pasangan mereka.
Begitulah yang dapat disimpulkan dalam filem terbaharu arahan Eyra Rahman, Isteri Untuk Dijual.
Filem yang menyaksikan gandingan pertama kali Nora Danish dan Kamal Adli ini turut dijayakan Azwan Kombos, Abam, Vicha Saywho dan ramai lagi.
Isteri Untuk Dijual mengisahkan Reza (Kamal) yang telah jatuh cinta dengan Bella (Nora). Di mata Reza, Bella seorang wanita yang cantik, comel dan jujur, pendek kata segalanya sempurna. 
Selepas Bella berjaya menjadi model di bawah syarikat Reza, mereka telah berkahwin. Namun impian untuk mempunyai rumah tangga yang indah tidak kesampaian apabila Bella mula menunjukkan sikap sebenarnya sehinggakan Reza mula merancang untuk meminta rakan baiknya Adi (Azwan) untuk menggoda Bella agar isterinya itu meninggalkannya.
Pada pandangan penulis, Isteri Untuk Dijual menampilkan sebuah jalan cerita yang santai (popcorn movie), namun sarat dengan pengajaran untuk diteladani bersama, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru bercinta.
Apatah lagi, ia digarap oleh seorang pengarah filem yang berjaya mengarahkan filem-filem yang meninggalkan kesan kepada penonton seperti Aku Terima Nikahnya, Becinta, Pengantin Malam dan banyak lagi.
Dan ternyata percubaan Eyra untuk mengarahkan filem komedi tetap mendatangkan hasil yang baik.
Masakan tidak, penulis melihat Eyra berjaya mengadunkan jalan cerita ini dengan cukup baik kerana ada elemen komedi, sedih, romantik dan dalam masa sama nilai positif seperti elemen kasih sayang, kejujuran dan juga persahabatan.
Ia menekankan bahawa pentingnya untuk setiap individu menerima pasangan mereka seadanya dan tidak mengukur rupa paras semata-mata untuk dijadikan pasangan hidup.

Gandingan menjadi
Bukan itu sahaja, gandingan dua pelakon utama juga nampak berkesan dan kedua-dua pelakon ini berjaya mengemudi watak masing-masing tanpa berlebih-lebihan.
Nora yang biasa terkenal dengan karakter yang lemah lembut, cantik berjaya keluar dari kepompongnya dan membawa watak Bella dengan bersahaja.
Begitu juga dengan Kamal yang semakin lama tampak menyerlah dengan karakter komedi. Ada sahaja keletahnya yang mengundang gelak ketawa penonton sepanjang filem ini.
Manakala lakonan Azwan pula, semakin lama dilihat semakin baik biarpun lakonannya tidak meninggalkan kesan yang mendalam. Pendek kata, sebaik keluar dari panggung anda mungkin lupa dengan karakter Adi.
Namun tidak adil kiranya untuk menilainya Azwan dari sebuah filem sahaja dan dia juga masih baharu dalam arena lakonan.
Bagaimanapun keseluruhannya Isteri Untuk Dijual tetap menghiburkan dan bagi anda yang mencari sebuah filem santai pada hujung minggu, filem ini mungkin sesuai menjadi pilihan anda.
Justeru apakah kesudahan hubungan Bella dan Reza, serta berjayakah Adi menggoda Bella? Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: