Friday, December 25, 2015

Buah sawit seperti gugusan anggur



Buah sawit seperti gugusan anggur
Muhamad Yusri menunjukkan buah sawit menyerupai gugusan anggur yang dijumpai bapanya di ladang Felda Bukit Waha, semalam.
KOTA TINGGI - Seorang peneroka Felda terkejut apabila pertama kali dalam hidupnya sepanjang 30 tahun memotong buah di ladang, dia menjumpai buah sawit seperti gugusan anggur.
Anaknya, Muhamad Yusri Ramlai, 18 berkata, bapanya, Ramlai Ranyan, 54, menjumpai buah sawit unik itu ketika berada di ladang sawit Felda Bukit Waha, semalam.
Menurutnya, penemuan itu disedari bapanya ketika mereka melakukan rutin kerja kebun pada jam 8 pagi.
“Kami buat kerja macam biasa. Masa tu, abah tengah potong buah sawit, saya pula di belakang abah tolong angkat buah yang dipotong.
“Tiba-tiba, abah panggil saya dan tunjukkan buah kelapa sawit yang nampak macam dua gugus anggur,” katanya yang membantu bapanya di ladang sejak menamatkan pelajaran dari sebuah pusat kemahiran di Kulai.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia amat terkejut apabila bapanya menunjukkan buah sawit itu yang bentuknya lain daripada buah sawit biasa.
Muhamad Yusri berkata, bapanya memberitahu, sepanjang dia mula berkebun pada 1986 itu adalah kali pertama dia melihat buah sawit yang lain daripada yang lain.
“Biasanya, buah sawit berbentuk bulat dan saiznya pula besar atau kecil itu adalah normal tetapi kali ini ia agak unik. Buah sawit tersebut abah bawa pulang ke rumah untuk ditunjukkan kepada pejabat Felda dan rakan-rakannya.
“Saya juga merancang menyimpannya selepas abah tunjuk rakannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: