SEMPENA Maulidur Rasul, RTM menerusi saluran TV1, mengajak penonton sama-sama menghayati sambutan Maulidur Rasul dengan pelbagai sajian program khas sekali gus memupuk semangat cintakan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Bermula dengan siaran langsung, Sambutan & Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, dari Serdang, seawal jam 7.30 pagi, penonton kemudiannya dihidangkan dengan telefilem khas berjudul Kasyaf di slot Panggung RTM.
Bersiaran pada jam 2 petang, telefilem ini mengisahkan Datuk Zabidi yang ingin bertaubat telah mengikut kumpulan agama yang disangkanya baik, namun sebaliknya terjadi.
Antara pelakon hebat yang membintangi telefilem ini ialah Eman Manan, Shahruddin Thamby, Noniswara, Fauzi Nawawi, Shiela Mambo dan Zaryn Min.
Pada sebelah malam, Konsert Alhan Rabbaniyah, bakal menemui penonton jam 10.30 malam dengan menampilkan artis tersohor, Datuk Ramli Sarip, Opick dan Sharifah Khasif.
Sementara itu, sebuah lagi telefilem menarik bakal menemui penonton pada 27 Disember. Dibintangi oleh Lydiawati, Wan Sharmila, Omar Abdullah, Nabil, Azza dan Namron, telefilem yang berjudul Yassin Buat Bidadari ini sarat dengan pengajaran dan nilai-nilai murni untuk dihayati bersama.
Ia mengisahkan hartawan berjaya, Tuan Baharuddin, berdepan konflik jiwa. Meskipun punya harta yang banyak, jiwanya sangat kosong kerana tidak pandai al-Quran. Sehinggalah dia didatangi mimpi-mimpi ngeri dan cuba mendekati diri kepada Yang Maha Esa. Bagaimanapun, ia bukanlah jalan mudah buatnya kerana ada sahaja ujian berat melanda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: