Shera Aiyob
SEJAK mengambil keputusan bertudung pada Disember tahun lalu, wajah Shera Aiyob, semakin jarang muncul di kaca televisyen. Akui situasi itu, isteri kepada pelakon, Zahiril Adzim ini menjelaskan yang dirinya kurang menonjol untuk tahun ini kerana mahu memberi fokus kepada rumah tangganya.
“Oleh kerana anak saya, Nadi Anaqi masih kecil, jadi lebih baik saya meluangkan lebih masa kepadanya.
“Cukuplah buat masa ini, bapanya sahaja (Zahiril) sibuk dengan lakonannya demi menampung perbelanjaan keluarga.
“Jika kami berdua sibuk, siapa lagi mahu menjaga anak. Waktu inilah kami perlu merasai nikmat memiliki anak,” katanya kepada Zass.
Menurut Shera, sehingga kini dia masih ada menerima tawaran lakonan, namun terpaksa bersikap selektif.
Katanya, sepanjang tahun ini juga dia ada terlibat dengan beberapa penggambaran yang berdekatan.
“Buat masa sekarang, saya tidak boleh menerima tawaran penggambaran yang mengambil tempoh lama serta di kawasan yang terlalu jauh.
"Insya-ALLAH tahun depan, saya akan mula aktif semula jika menerima tawaran berlakon atau apa sahaja program,” katanya.
Mengenai imejnya pula, Shera berkata, ia bukanlah punca kariernya semakin perlahan. Bahkan, dia tetap percaya rezeki itu datangnya daripada ALLAH.
"Rasanya ramai pengarah dan penerbit sudah memahami batasan artis yang sudah bertudung. Sebagai pelakon, saya bukannya mahu bersikap demand tapi cukup sekiranya faham dengan penghijrahan saya sekarang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: