Wednesday, December 23, 2015

'Moh Ke Mie' dalam Panorama malam ini




Heliza Helmi

BUAT julung kalinya, program Panorama menggandingkan penyanyi Heliza Helmi bersama penerbit program, Rosli Mohd Nordin sebagai pengacara bersama untuk edisi khas 'Moh Ke Mie'.
Menjalani penggambaran hampir 10 hari bermula 4 November lalu turut menyaksikan mereka menggayakan kostum ninja sepanjang berada di Iga-Ueno Park atau Taman Ninja.  
Menurut Heliza, pengalaman itu pastinya tidak dapat dilupakan, sementelah berpeluang menerokai keindahan negara Matahari Terbit itu.
“Ia memberi satu pengalaman baharu kepada saya. Jika sebelum ini saya hanya mengetahui kewujudan ninja di kaca TV, kini saya berpeluang memakai kostum pahlawan atau perisik yang paling dikenali di negara ini.
"Berpegang kepada prinsip Islam itu mudah, saya turut menunaikan solat dengan memakai kostum ninja. Sementelah banyak lagi program yang diatur penerbit jadi adalah mustahil untuk saya menukar pakaian lain.
"Malah tidak salah untuk saya mempraktikkannya di negara yang bukan majoritinya penganut agama Islam,” katanya.
Sementara itu, Rosli memberitahu, penerbitan episod khas itu agak mencabar, berikutan masalah perbezaan budaya kerja dan komunikasi di antara pihak produksi Panorama dengan produksi Brain Corporation serta pemain-pemain industri pelancongan Jepun yang tidak betah berbahasa  Inggeris.
“Persediaan untuk menjayakan penggambaran dibuat pada awal Mac lalu. Pelbagai perancangan disusun bagi membolehkan pihak-pihak yang terlibat dalam penggambaran ini benar-benar bersedia.
“Nampak mudah untuk menjayakannya, namun apabila melibatkan manusia pelbagai karenah yang perlu ditangani dengan bijaksana, lebih-lebih lagi faktor perbezaan budaya khususnya bahasa dan cara kita komunikasi,” katanya.  
Bersiaran pada malam ini, jam 11 malam di TV1, edisi khas Panorama ini membawa penonton menerokai keindahan di Wilayah Mie yang terkenal sebagai lubuk mutiara berkualiti tinggi.
Selain itu, keindahan alam semula jadi air terjun Akame dan kesegaran udara kawasan pergunungan dengan pemandangan indah pasti membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk berada di sana.  
Jangan lupa saksikan episod khas Panorama, Moh Ke Mie malam ini!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: