Wednesday, December 23, 2015

Kisah tiga beradik piatu




Kisah tiga beradik piatu

MACAM mana Along nak jaga korang kalau diri Along pun Along tak boleh nak jaga?” Begitulah ungkapan Along kepada adik-adiknya.
Bakal menemui penonton di slot Cerekarama, Sabtu ini, jam 9 malam, telefilem berjudul Along diterbitkan oleh STR8 Films Sdn Bhd di bawah arahan sutradara, Khalid Nadzri.
Telefilem ini dijayakan pelakon hebat seperti Daniel El Arash, Habiel Lutfillah, Edora Mitilda, Fizz Fairuz, Norkhiriah Shapie, Zulkifli Salleh, dan Nureen.
Along berkisarkan tentang tiga beradik yatim piatu, Faiz (Daniel), Imran (Habiel), dan Mira (Edora) dalam menghadapi dugaan kehidupan yang semakin berat.
Selaku Along kepada Imran dan Mira yang tidak bekerja, Faiz merasakan ada baiknya sekiranya adik-adiknya diambil menjadi anak angkat daripada terus hidup dalam keadaan papa kedana bersamanya.
Setelah mendaftarkan adik-adiknya di sebuah pusat kebajikan kanak-kanak, Imran diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri yang tiada anak, Taufiq dan Gayah (Fizz Fairuz dan Norkhiriah).
Kehidupan Imran cumalah sederhana jika dibandingkan dengan adiknya, Mira. Pada waktu yang sama Imran diambil daripada Faiz, Mira juga diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri yang berada, Datuk Haris dan Datin Farida (Zulkifli Salleh dan Nureen).
Ibarat air dicincang tidak akan putus, sungguhpun Imran dan Mira menjalani kehidupan senang, mereka tetap mahu tinggal bersama Faiz.
Sehinggakan satu tahap di mana mereka terlalu merindui antara satu sama lain, Faiz nekad membawa adik-adiknya lari dan merancang untuk hidup bertiga.
Pelbagai dugaan dilalui, mereka berlapar, berpanas dan berhujan. Namun, ketabahan dan kekuatan Faiz benar-benar teruji apabila mendapati suhu badan Mira meningkat dan Mira tidak sedarkan diri.
Berkongsi pembikinan telefilem ini, Khalid berkata, ia menjalani penggambaran selama tujuh hari melibatkan kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk kawasan bawah jambatan di Datuk Keramat.
Katanya, tarikan drama ini adalah jalan ceritanya yang lebih kepada kisah kekeluargaan.
"Dalam telefilem ini kita akan dapat lihat bagaimana seorang abang yang nak terbaik untuk adik-adiknya.
"Untuk telefilem ini saya tak ubah apa-apa dari skrip dan cuma visualkan apa yang terdapat dalam skrip," katanya kepada Zass.

Cabaran pelakon baharu
Bagaimanapun ujar Khalid, penglibatan pelakon baharu memberikan cabaran kepadanya untuk menimbulkan mood dan mendapatkan keserasian pelakon utama iaitu Daniel, Habiel dan Edora.
"Kita memang tak cukup masa untuk lakukan sesi latihan dan sebagainya. Jadi pada hari penggambaran, saya banyak beri tiga pelakon ini masa untuk berbual, bermain bersama untuk timbulkan keserasian.
"Selain itu, saya banyak jelaskan kepada mereka apa yang saya mahu dan ibu bapa adik Habiel dan Mitilda (Edora) juga turut turun membantu," katanya.
Khalid bagaimanapun berpuas hati dengan komitmen dan lakonan semua pelakon serta berharap penonton juga sependapat dengannya.
"Saya harap penonton boleh terima dan terkesan dengan penceritaan yang cuba kami sampaikan," akhirinya.
Bagi anda yang ingin mengetahui apakah nasib tiga beradik piatu ini? Saksikan jawapannya dengan menonton telefilem Along, Sabtu ini di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: