
Keropok lekor dipotong kecil untuk dimasukkan ke dalam bungkusan untuk dipasarkan.
SEBUT saja keropok lekor, sudah tentunya pemikiran kita terarah ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Tidak dapat tidak, sememangnya masyarakat kita sudah sinonim dengan makanan ringan ini dengan negeri-negeri Pantai Timur.
Walhal, pada masa kini, penghasilan keropok lekor atau dipanggil juga keropok batang juga diusahakan oleh pengusaha atau individu dari negeri Utara seperti Perak dan Kedah.
Resipi turun-temurun yang dimiliki Abu Bakar Ismail telah menjerumuskannya secara langsung dalam industri keropok lekor yang bermula di Kepala Batas, Kedah.
Berlatar belakang sebagai usahawan yang terlibat dalam industri pembinaan selama 15 tahun dan kemudian beralih kepada industri makanan apabila mendapat kontrak dengan Sime Darby, mendorong beliau menghasilkan produk keluaran sendiri sehinggalah tercetusnya keropok lekor ini.
Keropok lekor tiga perasa
Uniknya keropok lekor keluaran LecoNice Enterprise ini, ia mempunyai tiga perasa, iaitu lada hitam (black pepper), coklat dan asli yang kini mendapat permintaan cukup memberangsangkan walaupun usia produk ini baru menjengah satu setengah bulan.
Perak kini menjadi destinasi keropok lekor ini apabila syarikat Agro A Plus Enterprise dipertanggungjawab untuk mengedar makanan ini di sekitar Ipoh dan di seluruh negara.
Menurut Abu Bakar, pada permulaan penghasilan keropok lekornya, beliau hanya ingin mencuba sejauh mana permintaan dan respons masyarakat.
Alhamdulillah, setelah mendapat respons positif, beliau mengambil keputusan menumpukan sepenuhnya kepada industri keropok lekor.
Hanya bermodalkan RM500 dengan membeli mesin terpakai untuk menghasilkan keropok lekor ini, beliau telah berjaya memproses sebanyak 500 kilogram keropok lekor bagi memenuhi pasaran di sekitar Baling, Sungai Petani, Perlis dan beberapa kawasan di Pulau Pinang.
Dengan pelantikan Agro A Plus Enterprise sebagai pengedar dan pemasaran produk, ia sekali gus membolehkan LecoNice Enterprise menumpukan sepenuhnya kepada operasi penghasilan keropok lekor kerana pada bulan ini (Disember), selain Ipoh, pasaran keropok lekor telah mula memasuki Lembah Kelang.
Tidak cepat melatah
Berkongsi cerita mengenai perkembangan ini, Abu Bakar turut melahirkan rasa syukur kerana dalam tempoh yang singkat produk keropok lekor keluarannya berjaya menembusi beberapa negeri Semenanjung Malaysia.
Dari 500 kilogram pada permulaannya, kini operasi penghasilan keropok lekornya bertambah ke enam tan seminggu bagi memenuhi pasaran Ipoh dan Lembah Kelang.
Produk keropok lekor ini boleh didapati di kedai-kedai runcit dan kedai makanan sejuk beku seluruh Lembah Kelang dan Ipoh.
Pada masa yang sama, kesan dari perkembangan positif ini, membuka banyak peluang perniagaan kepada para usahawan setempat yang berminat untuk memasarkan produk keropok lekor ini dengan menjadi ejen LecoNice bagi mana-mana pasaran yang masih belum diteroka.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam perniagaan ini, beliau mengakui dalam urusan perniagaan lumrahnya kita tidak dapat lari daripada pelbagai dugaan dan halangan.
Namun, sebagai usahawan perlulah menghadapinya dengan tenang dan sabar serta sentiasa istiqamah dalam apa jua matlamat yang ingin dicapai.
"Kita tidak boleh cepat melatah ataupun mudah berputus asa apabila kita diuji. Sebaliknya sebagai usahawan Muslim, kita ada senjata utuh iaitu doa kepada Maha Pencipta supaya diberi kemudahan dan dilancarkan segala urusan perniagaan kita," katanya.
Bercakap mengenai rancangan masa depan pula, Abu Bakar turut menzahirkan hasratnya untuk menjadikan Ipoh sebagai pusat penghasilan keropok lekor LecoNice dalam masa terdekat ini bagi memenuhi permintaan pasaran negeri Perak dan juga negeri-negeri yang berdekatan.
Selain itu, beliau turut memasang impian untuk mewujudkan restoran berasaskan sumber laut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: