Saturday, December 19, 2015

Dapur Mama kekalkan harga lama



Dapur Mama kekalkan harga lama
Orang ramai beratur untuk mendapatkan hidangan nasi kukus di Restoran Dapur Mama yang baharu dibuka di Indera Mahkota 7.
BERMULA daripada sebuah warung tanpa nama di pinggir jalan, kini Zalini Mohamad, 49, mampu menarik nafas lega dan tersenyum lebar apabila berjaya mentransformasikan perniagaannya ke sebuah restoran nasi kukus segera.
Ide untuk memperluaskan perniagaan yang terletak di Indera Mahkota 7 bersebelahan Hotel Sri Manja itu bermula apabila melihat sambutan hebat daripada pelanggan di warungnya.
“Nasi kukus satu hidangan yang lengkap jadi kalau kita menjualnya dengan betul terutama menjaga kualiti dan rasa pasti orang tidak akan berfikir panjang untuk memilih hidangan ini tanpa mengira waktu.
“Hidangan ini sesuai untuk dinikmati pada bila-bila masa. Bila permintaannya bertambah setiap hari ia memberi satu inspirasi untuk saya membuka Restoran Dapur Mama,” katanya kepada Sinar Harian.
Dapur Mama yang dibuka setiap hari ini memang dinantikan setelah lima tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan nasi kukus.
“Saya mahu lebih ramai pelanggan dapat nikmati hidangan resipi turun-temurun keluarga saya. Jadi saya mengubah persepsi orang yang sering menikmati hidangan nasi kukus di warung kepada restoran segera.
“Nasi kukus ini sedap jika dimakan panas-panas dan pada ketika betul-betul lapar, jadi dengan konsep baru ini saya dapat beri mereka hidangan yang tepat pada masa yang dikehendaki.
“Dengan tenaga pekerja yang ramai dan cara untuk mendapatkan hidangan yang mudah membolehkan mereka menikmatinya dengan kadar segera dan kuantiti permintaan juga lebih tepat tanpa sebarang kesilapan,” katanya.
Walaupun konsep penjualan nasi kukus lebih sistematik namun harga yang ditawarkan masih lagi sama.
“Kami mengetengahkan menu yang sama seperti di warung iaitu menu utama nasi kukus ayam berempah dan terdapat juga nasi kukus berasaskan daging yang didatangkan bersama segelas minuman.
“Bagi kesemua hidangan ini bermula dengan harga RM5.80 namun dengan berkonsepkan makanan segera jadi kami memudahkan cara iaitu menawarkan sekali minuman. Malah harga ditawarkan begitu berpatutan di antara RM8 hingga RM11 sahaja.
“Dengan pembukaan restoran Dapur Mama ini, kami berbesar hati menambah satu lagi menu menarik iaitu nasi kukus ayam kampung dengan harga istimewa sekitar RM12.50 saja,” katanya yang mempunyai pelanggan tetap hidangan ayam kampung.
Selepas pembukaan Dapur Mama yang pertama di Indera Mahkota 7, Zalini berhasrat membuka lebih banyak cawangan termasuk francais.
“Mungkin ramai di luar sana yang berhasrat membuka sebuah restoran tetapi tidak tahu selok-beloknya, boleh menghubungi Dapur Mama untuk dapatkan maklumat serta khidmat nasihat.
“Kepakaran kami adalah menghasilkan hidangan nasi kukus yang cukup istimewa jadi dalam masa yang sama kami ingin membuka peluang perniagaan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: