Saturday, December 19, 2015

Nenek pakar jahit jala




Nenek pakar jahit jala
Faridah tekun menyiapkan tempahan jala daripada pelanggannya
TANGGUNGJAWAB sebagai nenek kepada dua cucu dan usia lebih separuh abad, tidak pernah menghalangnya menghasilkan pelbagai jenis peralatan menangkap ikan berkualiti serta murah melalui kemahiran menjahit.
Lebih manis, hasil kerja tangan Faridah Osman, 54, yang mengusahakan kedai peralatan menangkap ikan seperti jala, jaring dan bubu membolehkannya diberi pengiktirafan sebagai pakar jala oleh penduduk setempat.
Berkemahiran menjahit pelbagai jenis peralatan menangkap ikan sejak 25 tahun lalu, kedai Faridah sering menjadi tumpuan nelayan dan kaki pancing dari serata tempat untuk membeli jala, jaring dan bubu.
Menurutnya, selain menghasilkan pelbagai peralatan menangkap ikan, dia yang dibantu ahli keluarganya, turut menawarkan perkhidmatan membaiki jala, jaring dan bubu rosak dengan kos pembaikan serendah RM10.
“Bagi perkhidmatan membaik pulih jala dan jaring yang rosak, kami sekadar meletakkan caj membaik pulih sekitar RM10 hingga RM 20 bergantung kepada keadaan kerosakan. Manakala untuk baik pulih keseluruhan jala atau jaring, harga serendah RM100 dikenakan bergantung pada saiz kelebaran atau kepanjangan jala itu sendiri.
“Untuk membeli jaring baru, pelanggan boleh memilih saiz dan warna jaring yang dimahukan dengan tawaran harga bermula RM100 sehingga RM260 mengikut saiz ditetapkan,” katanya kepada media di sini.
Faridah berkata, selain menawarkan harga rendah, premisnya turut menawarkan khidmat penghantaran secara pos dan terus ke rumah pelanggan, bergantung pada kuantiti peralatan ditempah.
Hasil kerja tangannya yang kemas, berkualiti dan murah mendapat sambutan luar biasa nelayan dari seluruh Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis malah dari luar negara termasuk Singapura.
Katanya, bakat kemahiran menjahit dan menghasilkan peralatan menangkap ikan dipelajarinya daripada suami, Yusof Shaari, 58, yang juga merupakan seorang pakar jala sejak lebih 30 tahun lalu.
"Kini kami sudah membuka dua kedai peralatan menangkap ikan di Sungai Kerian, Parit Buntar dan Sungai Bogak.
"Malah anak bongsu, Mat Rezeki Yusof, 23, melancarkan akaun laman sosial Facebook bernama ‘Kedai Jala Sungai Bogak’ untuk mempromosi produk perniagaan yang turut mendapat sambutan hangat kaki pancing terutama golongan remaja," katanya.
Katanya, ada pelanggan bertanya mengapa dia menjual produk lebih murah daripada harga pasaran, sedangkan hasil produk lebih berkualiti dan kemas.
“Bagi saya, setiap kerja penghasilan produk dibuat adalah berdasarkan minat dan setiap kepuasan pelanggan adalah kepuasan bagi diri saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: