Saturday, December 12, 2015

Kemeriahan Sawah Challenge



Kemeriahan Sawah Challenge
Pertandingan Sawah Challenge yang diadakan di dalam sawah padi terbiar di Kampung Gong Baru.
KUALA TERENGGANU – Sawah terbiar yang berada berhampiran Rumah Komuniti Teratak Desa Kampung Gong Baru dimanfaatkan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai salah satu lokasi sukan kampung.
Biarpun hanya dilaksanakan di peringkat kampung, sukan lumba basikal di dalam sawah padi yang dikenali Sawah Challenge itu mampu diangkat ke peringkat lebih tinggi bagi menjadikan ia sebagai salah satu sukan pada musim tengkujuh.
Pengerusi JKKK, Mohd Hanafiah Ismail berkata, pada musim tengkujuh, kebanyakan aktiviti sukan luar agak sukar dilaksanakan kecuali mewujudkan sukan yang boleh dimainkan ketika hujan seperti cabaran menerusi pertandingan Sawah Challenge.
“Waktu macam ni (musim tengkujuh) para belia tak ada aktiviti sukan luar kerana cuaca tidak menentu, tetapi dengan adanya sawah terbiar ini sebagai tempat lumba basikal dalam keadaan lumpur, sekurang-kurangnya masa mereka tidak terbuang begitu sahaja.
“Saya percaya sukan musim tengkujuh ini menarik dan mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kami buat pertandingan secara tertutup sahaja, tetapi lain kali mungkin boleh dibuka kepada semua di kawasan berhampiran termasuk peringkat daerah dan negeri untuk sama-sama menyertai sukan ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Pertandingan Sawah Challenge, di sini.
Hanafiah yang juga selaku Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gong Baru turut berhasrat menjadikan sukan itu sebagai mercu tanda kampungnya yang sebelum ini cukup dikenali sebagai lubuk pertandingan memancing.
“Sebelum ini orang kenal kampung kami (Kampung Gong Baru) kerana pertandingan mengail tetapi kami berharap suatu hari nanti, Sawah Challenge ini boleh diketengahkan sekali gus kampung ini dikenali sebagai pelopor kepada pertandingan lumba basikal di dalam sawah padi terbiar seperti ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: