
Che Wan bersama anaknya, Che Wan Muzammil, 10, di hadapan rumah botnya yang masih dalam pembinaan.
TASIK KENYIR - Lain padang lain belalang, lain orang lain ragamnya. Perumpamaan itu tepat menggambarkan impian seorang lelaki yang berasal dari Kampung Kuala Pueh yang memasang angan-angan sejak kecil untuk memiliki rumah terapung atas air.
Kini, impian Che Wan Mansor Wan Nong, 45, hampir menjadi kenyataan apabila rumah idamannya itu sedang rancak dibina di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir bermula Ogos tahun lalu dan sehingga kini juga dia telah membelanjakan lebih RM300,000 bagi tujuan tersebut.
Tambah bermakna rumah impiannya yang berkonsepkan rumah bot itu menjadi kediaman pertama miliknya kerana sejak mendirikan rumah tangga 11 tahun lalu, dia hanya tinggal di rumah kedai yang disewa berhampiran jeti rumah bot di Pengkalan Gawi.
Sanggup keluar kos tinggi
Berkongsi cerita, bapa seorang anak ini berkata, dia mengimpikan sebuah rumah yang terapung atas air kerana merasakan ia satu keunikan selain dapat memberikan ketenangan tersendiri apatah lagi dia juga seorang yang sukakan persekitaran dikelilingi air.
“Tasik Kenyir ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya, di sini juga saya bertemu jodoh dengan isteri, Siti Zaharah Salleh, 48, yang berniaga kedai makan di Pengkalan Gawi dan tempat ini juga bagaikan telah menjadi kampung utama bagi saya.
“Kediaman terapung idaman saya ini dinaitaraf daripada sebuah bot tunda terpakai sekitar tahun 2004. Bot ini saya guna untuk cari rezeki di tasik ini...saya tawarkan khidmat menunda bot rosak dan tukang hantar barang,” katanya.
Menurutnya, demi impian memiliki rumah terapung, dia nekad mengubah suai bot berkenaan yang dibelinya dengan harga kira-kira RM87,000.
“Walaupun terpaksa keluarkan kos yang tinggi termasuk gunakan simpanan serta pinjaman namun saya tidak kisah.
“Saya sanggup berbelanja demi rumah pertama saya ini,” katanya di sini, semalam.
Tambah Che Wan Mansor, setakat ini pembinaan rumah berkenaan sudahpun siap hampir 80 peratus dan selain menggunakan khidmat tukang dia juga turut melakukan sendiri kerja berkaitan kerana berkemahiran dalam bidang pertukangan.
“Saya harap rumah ini dapat siap tahun hadapan.
"Tapi bergantung juga pada sumber kewangan, sebab sebelum ini pun macam-macam cabaran saya hadapi sebelum sampai ke tahap ini,” katanya.
Rumah bot jadi sumber pendapatan
Dia berkata, dia juga bercadang untuk menyediakan perkhidmatan rumah bot kepada pengunjung yang datang ke Tasik Kenyir memandangkan permintaan terhadap rumah bot ini sememangnya tinggi terutamanya ketika musim cuti sekolah.
“Rumah terapung idaman saya ini akan dibina dengan kemudahan 10 bilik termasuk satu bilik dom, surau serta bilik untuk pengunjung orang kurang upaya. Pada satu-satu masa boleh muatkan antara 25 hingga 30 pengunjung dengan kadar bayaran RM1,800 semalaman.
“Setakat ini ada hampir 50 pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir ini, namun ada kalanya ia tidak mencukupi sebab permintaan meningkat daripada pengunjung. Sekurang-kurangnya dapat tambah sumber pendapatan, saya,” ujarnya
Katanya, kehadirannya sebagai salah seorang pengusaha rumah bot kelak secara tidak langsung sebagai persaingan sihat kepada pengusaha sedia ada sekali gus merancakkan serta memberi satu lagi pilihan perkhidmatan kepada pengujung.
Dalam hal berkaitan, Che Wan Mansor turut memaklumkan kawankawannya sentiasa menyokong usahanya itu dan sebelum berada di tahap sekarang dia pernah menjual kereta miliknya bagi meneruskan kehidupan serta mengejar impian.
Menurutnya selepas itu dia hanya bergerak ke sana ke mari menaiki motosikal namun semua itu tidak melemahkannya kerana dia berpegang teguh kepada prisip hidupnya semakin terhimpit semakin bertambah semangat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: