Saturday, December 12, 2015

Ketabahan Yusof tukang golok



Ketabahan Yusof tukang golok
Yusof menunjukkan beberapa bilah parang yang telah siap.
KUALA TERENGGANU – Bangsal usang yang tertulis Yusof Tukang Golok (parang) di Kampung Teluk Menara, Manir, tidak asing lagi bagi peniaga parang di negeri ini yang kebanyakannya menjadi pelanggan tetap Yusof Abdullah Hamzah, 66, yang berketurunan Melayu Champa, dari Kemboja.
Siapa sangka, kedatangan Yusof ke Malaysia sebagai keluarga pelarian pada tahun 1980 selepas negaranya diserang komunis, mendapat tempat di hati rakyat Malaysia khususnya di Terengganu yang menyokong perniagaannya sebagai tukang besi.
“Sebelum menetap di sini (Terengganu), saya dan keluarga tinggal di Perak dan bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit. Pada tahun 1995 baru saya datang ke Terengganu dan terfikir untuk menjalankan pertukangan besi memandangkan di sini tiada perusahaan begitu.
“Saya mempunyai kemahiran menghasilkan golok ketika tinggal di Kemboja lagi pada usia 13 tahun ketika menolong orang tua (ayah). Saya menggunakan kemahiran yang ada untuk menyara keluarga,” cerita Yusof ketika ditemui Sinar Harian di bangsalnya yang terletak di Kampung Teluk Menara, Manir, di sini.
Yusof berkata, sebanyak RM500 digunakan sebagai modal permulaan ketika dia mengusahakan pertukangan itu pada 1995 untuk membeli beberapa jenis mesin pencanai, tukul besi dan bahan-bahan mentah lain seperti besi terpakai serta arang.
Ketika memulakan perniagaan itu, dia tidak menyangka orang kampung berdekatan datang untuk menempah parang, pisau dan macam-macam lagi walaupun keluarganya adalah orang asing.
“Alhamdulillah, setelah 20 tahun menjalankan perniagaan di sini, pelanggan saya bukan sahaja daripada orang tempatan malah ada yang datang dari Pahang, Kelantan dan banyak lagi,” jelasnya.
Harga serendah RM5 bagi setiap inci bilah yang ditempah menarik perhatian pelanggan untuk datang menempah apa saja bentuk golok, pisau dan sebagainya di bangsal Yusof Tukang Golok.
Apatah lagi, kemahirannya yang mampu menghasilkan sebilah parang panjang hanya dalam masa 30 minit hingga satu jam sambil dibantu seorang pekerja.
Pendapatan puratanya juga agak lumayan apabila memperoleh RM300 sehari malah pernah mencecah RM2,000 terutama ketika hampir musim sambutan Hari Raya Aidiladha dan musim kenduri kahwin.
“Kalau dekat nak raya haji (Aidiladha) dan kenduri kahwin ramai yang datang tempah pisau sembelih dan potong daging,” ceritanya sehingga ada yang terpaksa menolak tempahan pelanggan kerana tidak menang tangan.
Hasil perusahaan itu jugalah Yusof membesarkan 11 orang anaknya yang kini masing-masing berusia 43 hingga 19 tahun.
Bagaimanapun, kemahiran yang ada pada Yusof tidak dimanfaatkan anak-anaknya yang tidak berminat mengusahakan apa yang sedang dilakukannya kerana lebih suka makan gaji.
“Sayanglah tak ada orang nak warisi kemahiran ini, anak-anak lebih suka makan gaji daripada kerja sebagai tukang besi,” katanya.
Datuk kepada 20 cucu itu berkata, hakikatnya kerja itu lebih mudah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa malah boleh diusahakan bersebelahan rumah sahaja.
Bangsal Yusof Tukang Golok beroperasi pada jam 8 pagi hingga 5 petang dan dibuka setiap hari kecuali Jumaat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: