Saturday, December 12, 2015

Fareeda keluar koleksi baharu



Fareeda keluar koleksi baharu
Mawar (kiri) dan suaminya, Fizo Omar (dua, kiri) bersama peminat tudung jenama Fareeda.
SYARIKAT pengeluar tudung eksklusif jenama Fareeda, Fareeda Global Resources Sdn Bhd (Fareeda Global Resources) bakal mengeluarkan lebih 10 koleksi tudung baharu, tahun hadapan.
Pengarahnya, Mawar Abdul Karim berkata, syarikat itu memilih konsep yang diinspirasikan dari Timur Tengah seperti Arab dan Mesir untuk rekaan tudung terbaharunya kerana kelainannya, di samping penerimaan memberangsangkan daripada penggemar jenama Fareeda.
“Sepanjang tahun ini, kami sudah mengeluarkan 10 hingga 15 koleksi tudung eksklusif.
“Kami merancang untuk mengeluarkan 10 koleksi baharu tahun hadapan. Jumlah itu mungkin lebih, bergantung kepada idea Pengasas Fareeda, Faridah Zakaria,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Shah Alam, baru-baru ini.
Beliau berkata, Fareeda bakal meneroka pasaran Brunei kerana permintaan yang tinggi di negara itu menjelang 2016.
“Banyak pembelian yang dibuat secara atas talian (online) datang daripada pelanggan Malaysia menetap di sana.
“Terbaru, kami baru sahaja membuka cawangan Fareeda ke-12 di Johor minggu lalu, tetapi masih belum buat pelancaran secara rasmi. Pelancaran dijangka dibuat pada awal tahun hadapan,” ujarnya.
Katanya, Fareeda Global Resources juga akan beri tumpuan memenuhi permintaan pelanggan di 12 cawangannya di seluruh Malaysia.
"Sekarang, kita masih tidak boleh nak tampung lagi permintaan di semua cawangan. Jadi, kami akan atasi kelemahan ini, barulah fikir untuk mengembangkan cawangan baharu Fareeda," katanya.
Dalam pada itu, Mawar berkata, syarikat itu yakin tudung jenama Fareeda akan tetap menjadi pilihan pelanggan meskipun kini banyak syarikat pesaing jual produk hijab.
"Kami percaya dengan rekaan Fareeda yang berlainan dan paling penting mengehadkan koleksi tudung yang dikeluarkan.
"Sejak dahulu lagi, Fareeda sentiasa mengeluarkan corak dan warna baharu serta tidak diulang. Kita kekalkan mengeluarkan tudung dalam kuantiti sedikit dan terhad," ujarnya.
Katanya, Fareeda Global Resources juga tidak tergugat dengan produk tiruan kerana kualiti yang jauh berbeza.
"Agak sukar pesaing nak meniru rekaan tudung Fareeda walaupun kelihatan seolah-olah sama.
"Penggemar tudung Fareeda sendiri boleh membezakan antara tudung Fareeda yang asli dan tiruan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: