Thursday, December 17, 2015

Beg Playnomore buruan wanita



Beg Playnomore buruan wanita
Wan Musfirah (kanan) bersama beg-beg dibeli di Korea Selatan.
MELIHAT pada pandangan sisi luar beg ini, pasti ramai yang terpesona. Dengan mata yang comel serta pelbagai bentuk, menjadi tarikan kepada beg tangan keluaran Korea Selatan ini. Dikenali sebagai Playnomore, ia menjadi trend pada masa kini.
Mula menjadi sebutan selepas dilancarkan di negara Kpop itu sejak Julai lalu dan ia menular sehingga ke seluruh dunia. Dengan inspirasi reka bentuk beg tangan Hermes, Playnomore kini menjadi kegilaan wanita di China, Hong Kong dan Eropah termasuk Malaysia.
Di Malaysia, trend itu menarik ramai wanita untuk memiliki beg tangan berkenaan termasuk selebriti.
Bawa pulang minimum 30 unit
Personal shopper, Wan Musfirah Aimi Wan Supian mula menjual beg tangan itu sejak tiga bulan lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.
Dia akan ke Korea Selatan setiap bulan untuk membeli beg tangan itu dengan tempahan minimum 30 unit pelbagai saiz dan warna.
"Beg tangan itu hanya boleh dibeli di sebuah kedai yang terletak di Seoul dengan harga di antara RM1,000 sehingga RM2,000 seunit," katanya.
Menurutnya, bagi setiap kunjungan ke Korea Selatan, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000.
"Saya hanya membeli beg tangan mengikut tempahan pembeli dan membelinya di Korea. Saya tidak menjual produk tiruan," katanya yang berpendapat terdapat lambakan beg tangan tiruan seumpama itu yang dijual di atas talian.
Miliki lebih daripada satu beg
Penggemar beg tangan wanita, Siti Masitah Nasir, 31, berkata, dia membeli beg tangan itu kerana tertarik dengan warna dan imej mata yang terdapat di beg tangan tersebut.
Pada masa sama, ia juga menjadi antara trend hangat di pasaran khususnya di kalangan pengguna wanita.
"Saya ada tiga beg tangan Playnomore yang saya beli hanya dalam seminggu pada harga hampir RM4,000. Kesemua beg tangan itu berbeza reka bentuk dan warna," katanya.
Menurutnya, selain 'comel', beg tangan tersebut juga sangat mudah digayakan dengan pakaiannya.
Bagi Fatma Omar pula, walaupun dia menetap dan bekerja di Seoul tetapi hanya mengetahui tentang trend itu menerusi kenalan di Malaysia yang bertanyakan tentang beg tersebut.
Menurutnya, rata-rata mereka meminta dia membeli dan menyemak harga beg tersebut.
"Saya datang ke butik Playnomore di Myeongdong pada September lalu. Selain membeli untuk rakan-rakan, saya juga membeli untuk diri sendiri iaitu beg tangan pertama Playnomore, Shygirl," katanya.
Sehingga kini, dia mempunyai empat koleksi beg tangan Playnomore termasuk satu keluaran edisi khas.
Mengulas tentang harga, Fatma berkata, harga beg tangan itu adalah jauh lebih murah berbanding jenama beg dari Eropah dan mampu milik.
"Saya minat Playnomore kerana warnanya yang cukup menarik dan saiznya yang kecil dan praktikal serta sangat mudah digayakan. Kalau ikutkan hati, saya mahu beli semua yang ada di butik itu," katanya.
Sementara itu, Nadira Nur Ab Rahman berkata, dia membeli sebuah beg tangan itu kerana terpengaruh dengan trend.
Menurutnya, dia membelanjakan RM999 untuk memiliki beg berkenaan menerusi personal shopper. Katanya, setakat ini, dia mempunyai satu koleksi beg tangan Playnomore.
"Saya memang pengumpul beg tangan, biasanya setiap satu model saya akan mempunyai sekurang-kurangnya satu. Saya tidak terlalu obses dengan jenama Playnomore, hanya sebagai tambahan kepada koleksi peribadi," katanya.
Nadira Nur juga menitik beratkan kualiti beg sebelum membeli untuk koleksi. Baginya, Playnomore berbaloi untuk dimiliki kerana dibuat dengan material yang tahan lasak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: