Thursday, December 17, 2015

Mahkamah kekal hukuman terhadap bekas KP Imigresen



Mahkamah kekal hukuman terhadap bekas KP Imigresen
Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Jenayah selepas mendengar keputusan kes rayuannya hari ini. Mahkamah mengekalkan hukuman penjara enam tahun penjara dan RM300 ribu atas kesalahan rasuah pada tahun 2008.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don kerana menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan visa pekerja Bangladesh, tujuh tahun lepas.
Hakim Datuk Amelia Tee mengesahkan keputusan itu selepas menolak rayuan Wahid terhadap sabitan dan hukuman. 
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Wahid untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Beliau kemudian menaikkan jumlah jaminan daripada RM50,000 kepada RM100,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah mengarahkan Wahid, 62, membayar denda tersebut sebelum atau pada 4 Januari depan.
Dalam penghakimannya, Amelia berkata, selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati keterangan saksi pendakwaan tidak disangkal manakala keterangan saksi pembelaan adalah tidak tepat.
Amelia berkata, mahkamah mendapati tiada bayaran perlu dibuat untuk meluluskan permohonan visa bagi 4,337 pekerja Bangladesh.
Pada 30 Oktober 2013, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Wahid bersalah menerima suapan berjumlah RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian sebagai upah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan visa pekerja tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta di sini pada 10 Julai 2008. 
Pada 15 Oktober 2010, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Wahid tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan sama selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membukti kes prima facie dan kemudian Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada 31 Mei 2012.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2 April 2013 memerintahkan Wahid untuk membela diri atas tuduhan itu selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dijalankan oleh Ketua Bahagian Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa manakala Wahid diwakili oleh peguam, Datuk V. Sithambaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: