
Antara but bola sepak yang dijual oleh PUMA SE.
PENGELUAR barangan sukan terkemuka, PUMA SE memiliki sejarah unik tersendiri sebelum popular seperti sekarang.
Syarikat tersebut diasaskan pada 1948 oleh Rudolf Dassler. Sebelum membuka PUMA, dia bekerja di sebuah kilang kasut bersama ayahnya, Christoph von Wilhelm Dassler di Herzogenaurach, Jerman sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama.
Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama pada 1924, dia pulang ke Herzogenaurach dan membuka sebuah kilang kasut bersama adiknya, Adolf Dassler. Mereka menamakan perniagaan mereka sebagai Kilang Kasut Dassler Bersaudara.
Mereka menjual kasut di sebuah kedai mencuci baju milik ibu mereka. Memandangkan elektrik di kawasan Herzogenaurach tidak berapa bagus, kadang-kadang mereka terpaksa mengayuh alat pengayuh elektrik untuk menjana elektrik supaya kerja-kerja menghasilkan kasut tidak terjejas.
Mahu orang ramai mengenali produk mereka, pada 1936, Adolf hadir ke Sukan Olimpik di Berlin dengan membawa satu beg yang penuh dengan kasut lari spike. Dia memujuk pelari Amerika Syarikat, Jesse Owens untuk memakai kasut buatannya.
Akhirnya, Jesse bersetuju untuk memakai kasut tersebut dan pada temasya sukan itu, Jesse berjaya menggondol empat pingat emas dalam acara lari 100 meter (m), 200m , lari berganti-ganti 4X100m dan lompat jauh.
Kejayaan Jesse menyebabkan perniagaan mereka meledak dengan drastik. Sebelum berlakunya Perang Dunia ke-2, mereka berjaya menjual kira-kira 200,000 pasang kasut.
Namun, kerjasama mereka hanya bertahan selama 25 tahun apabila Rudolf mengesyaki adiknya mengkhianatinya semasa Perang Dunia ke-2.
Selepas insiden itu, mereka memecahkan perniagaan mereka pada 1948. Rudolf membuka kilang di Aurach, Jerman dan menamakan syarikatnya kepada PUMA SE, manakala Adolf pula membuka syarikat kasut dengan nama yang lain. Pada 1986, Puma menjadi syarikat awam setelah mendaftar dalam Bursa Saham Frankfurt.
Anak Rudolf, Armin dan Gerd Dassler bersetuju menjual 72 peratus saham syarikat pada 1989 kepada seorang ahli perniagaan Switzerland, Cosa Liebermann.
Kini, PUMA SE menjual barangan pelbagai sukan seperti bola sepak, futsal, balapan, golf dan lain-lain lagi.
PUMA SE turut menaja beberapa skuas bola sepak dunia seperti Itali, Slovakia, Arsenal dan lain-lain. Selebriti sukan tajaan PUMA SE seperti Sergio Aguero, Cesc Fabregas, Yaya Toure dan lain-lain lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: