Wednesday, December 2, 2015

Bayaran tapak tanah sudah langsai



Bayaran tapak tanah sudah langsai
Marzi Firdaus (empat, kiri) dan pelajar-pelajarnya bersyukur kerana masalah dihadapi mereka selesai di atas keprihatinan orang ramai.
TAPAH - Pengasas Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi (MTFAW) sudah menjelaskan baki bayaran tapak tanah apabila berjaya mengumpulkan sebanyak RM350,000 dalam tempoh singkat selepas kisah madrasah itu tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan menjadi viral.
Marzi Firdaus Mohd Ariffin berkata, wang sumbangan orang ramai itu dikumpulkan dalam tempoh hanya beberapa hari dan segera diserahkan kepada pemilik tanah, Jumaat lalu.
Menurutnya, mereka kini dalam proses untuk menukarkan hak milik tanah terbabit kepada MTFAW.
“Saya dan anak-anak madrasah ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat negara ini yang prihatin dengan nasib kami.
“Hanya ALLAH dapat membalas jasa baik semua pihak yang hulurkan bantuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di MTFAW di sini, semalam.
Dalam proses pilih AJK
Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses memilih ahli jawatankuasa (AJK) serta yayasan sebelum mendaftarkan madrasah tersebut di bawah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).
Katanya, pemilihan barisan AJK dijalankan secara teliti dengan melakukan solat istikharah pada setiap hari bersama pelajar-pelajarnya.
“Bukan sahaja untuk pilih ahli jawatankuasa, pemilihan calon-calon pelajar yang akan masuk belajar di sini juga dilakukan dengan solat istikharah.
“Apabila kami berasa ragu-ragu untuk membuat pilihan terbaik, kami akan melakukan solat istikharah secara berjemaah dan yakin petunjuk akan diberikan oleh ALLAH dalam pelbagai bentuk selain bermesyuarat dengan mudir madrasah berhampiran.
“Insya-ALLAH, pendaftaran akan dilakukan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini setelah pemilihan ahli jawatankuasa madrasah ini selesai,” katanya.
Perlu asrama lebih besar
Marzi Firdaus berkata, beliau merancang untuk membina asrama lebih besar bagi menempatkan lebih ramai pelajar.
Katanya, setakat ini, madrasah itu hanya mempunyai 40 katil untuk 45 pelajar dan ada pelajar terpaksa berkongsi katil untuk tidur.
“Kami rancang untuk bina sebuah asrama dua tingkat yang boleh memuatkan antara 50 hingga 60 pelajar dalam satu-satu masa sekiranya kewangan mencukupi,” katanya.
Marzi Firdaus berkata, sejak kisah madrasah itu disiarkan dalam Sinar Harian, kira-kira 30 pelajar yang layak akan diterima masuk ke dalam MTFAW.
“Bagaimanapun kami terpaksa tangguh dahulu kemasukan sebab kekurangan dari segi tempat tinggal untuk pelajar-pelajar itu,” katanya.
Rancang bina surau
Dalam pada itu, membina sebuah surau bagi kegunaan pelajar dan pengguna jalan raya dari Tapah ke Cameron Higland untuk menunaikan solat menjadi perancangan jangka panjangnya.
Katanya, pihaknya juga bercadang mahu menggunakan surau itu sebagai tempat pelajarnya menghafaz al-Quran.
“Bukan sahaja pelajar, penduduk setempat juga boleh menggunakan surau ini untuk mendalami ilmu agama.
“Kita akan guna kompleks ini sebaik mungkin dan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan serta ilmu untuk manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan surau ini mungkin mengambil masa kerana bajet belum mencukupi.
“Saya minta jasa baik masyarakat di luar sana untuk sama-sama membantu kami,” katanya.
Pada 25 November lalu, berita mengenai masalah kewangan madrasah itu disiarkan Sinar Harian selepas menjadi viral.
MTFAW bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan untuk melunaskan pembayaran tapak tanah, malah merayu sumbangan bahan-bahan bacaan ilmiah untuk pelajar-pelajar di situ.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: