JKM menahan enam individu dalam Operasi Pengemis dan Kutu Rayau sekitar bandar raya ini.
JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga Indonesia mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah rakyat tempatan dengan meminta sedekah di lokasi tumpuan orang ramai untuk memperoleh wang cara mudah.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, wanita berusia 57 tahun berkenaan antara enam yang ditahan hasil Operasi Peminta Sedekah dan Kutu Rayau di sekitar bandar raya ini dan Pasar Malam Larkin, di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, ketika ditahan wanita itu mendakwa dia hanya menjual tisu di jejantas menghubungkan sebuah pusat membeli-belah dengan JB Sentral bagaimanapun perbuatannya menjurus kepada kesalahan meminta sedekah.
“Dia turut meletakkan bekas berisi wang syiling yang menjurus kepada perbuatan meminta sedekah ketika menjual tisu. Wanita itu mendakwa dia terpaksa menjaja untuk mendapatkan wang disebabkan kesempitan hidup.
“Paling mengejutkan, kami berjaya menjumpai wang tunai mata wang Indonesia yang dianggarkan berjumlah RM7,377 selain barang kemas di dalam beg yang dibawa. Jadi kami percaya alasan kesempitan hidup diberikan hanya helah untuk melepaskan diri,” katanya.
Dalam operasi sama, seorang wanita Rohingya berumur 27 tahun turut ditahan kerana meminta sedekah yang turut membawa dua anak kecil berumur tujuh bulan dan tiga tahun di percayai untuk meraih simpati.
Manayi berkata, ketika siasatan dijalankan wanita itu mengakui mengalami masalah kewangan dan tiada pilihan sehingga terpaksa mengemis kerana tidak mempunyai pekerjaan.
Ketika ditahan, dia hanya berjaya memperoleh sekitar RM5 hasil pemberian orang ramai.
“Dalam operasi berkenaan kita turut menahan dua lelaki tempatan kerana mengemis. Semua yang ditahan berumur tujuh bulan hingga 61 tahun dibawa ke Rumah Seri Kenangan (RSK), di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (2) Akta Orang Papa 1977.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: