• Yayasan Nur Karangkraf bantu anak miskin berkhatan Mohd Nasir (tiga, kiri) bersama peserta dan pihak penganjur.
MASJID TANAH - Yayasan Nur Karangkraf komited membantu golongan memerlukan di Malaysia menerusi pelbagai program khidmat masyarakat.

Yayasan Nur Karangkraf yang diwakili Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah berkata, kali ini pihaknya terpanggil untuk menganjurkan program berkhatan khusus kepada anak-anak golongan miskin dan anak yatim.

“Program ini bertujuan melahirkan sikap prihatin, menyedarkan masyarakat mengenai kebersihan fizikal dan peka terhadap tanggungjawab serta undang-undang yang ditetapkan ALLAH.

“Pada masa sama, ia meringankan beban masyarakat terlibat untuk menanggung kos berkhatan anak mereka,” katanya pada majlis perasmian majlis berkhatan beramai-ramai di Tanjung Bidara Beach Resort di sini, semalam.

Program ini turut mendapat kerjasama Takaful Ikhlas, Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Tanjung Bidara Bidara Beach Resort, kelab motosikal berkuasa tinggi Melaka Bikers; Jabatan Kebajikan Alor Gajah dan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan dan Ketua Operasi Keluarga Takaful Ikhlas, Rohzan Yusof.

Nasir berkata, program berkhatan itu adalah julung kali diadakan Yayasan Nur Karangkraf.

“Diharap misi membantu masyarakat ini akan tercapai dan berterusan pada masa akan datang bertepatan dengan tema kami iaitu Jom Ceriakan Hidup Mereka.

“Saya yakin bukan sahaja kami, namun golongan terlibat juga gembira dengan penganjuran program ini,” katanya.

Menurutnya, pendekatan ini juga adalah langkah memperkenalkan Kumpulan Media Karangkraf dan Sinar Harian dengan lebih meluas di setiap daerah serta negeri.
Pada program ini seramai 25 anak-anak dalam Parlimen Masjid Tanah dikhatankan.

Menariknya, mereka berpeluang menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Tanjung Bidara Beach Resort sehingga ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

Sebelum dikhatankan, mereka juga dimandikan beramai-ramai oleh anggota bomba.

Sementara itu, penduduk, Norliza Karim, 31, berkata, ahamdulillah, program itu banyak membantunya, jika diadakan selalu pasti memberi makna besar kepada masyarakat bukan sahaja di sini tetapi di tempat lain juga.

Bagi Marni Sanef, 30, dua anaknya, Mohd Miezan Najmie, 6 dan Mohd Shukri, 9 turut berkhatan semalam.

“Program ini sangat mudah kerana semuanya sudah  diuruskan oleh pihak penganjur,” katanya.

Manakala, Mokhtar Abu Bakar, 40, pula berkata, anak-anak zaman ini bertuah kerana diraikan pada program sebegini,

“Sekurang-kurangnya mereka tidak berasa takut kerana ramai kawan yang berkhatan bersama," katanya.