Sunday, December 8, 2013

Tragedi Shukri Yahya



PENDATANG baru, Shukri Yahya hampir terbakar semasa penggambaran filem Jiwa Taiko dua tahun lalu tetapi satu tragedi baru-baru ini meninggalkan parut lebih parah dalam memorinya.
Jika dalam Jiwa Taiko dia antara pelakon yang disambar api dalam satu adegan letupan tetapi ketika penggambaran drama bersiri Menjinak Ombak, Shukri mengalami luka berdarah apabila lengannya tertikam pisau dalam satu babak pergelutan.
"Ramai yang kata saya tertikam tangan sendiri, saya pun tak tahu dari mana cerita keluar. Sebenarnya, saya cedera sewaktu melakonkan adegan pergelutan dengan pelakon Fezrol Khan. Dalam babak itu, saya mahu mempertahankan kekasih saya yang ditikam Fezrol tetapi berlaku salah teknik, pisau yang dipegang Fezrol tertikam lengan saya. Berjahit jugalah tapi semuanya okey,"jelas Shukri yang baru dua hari memulakan penggambaran drama bersiri terbaharunya, Jika Itu Takdirku.
Drama Menjinak Ombak arahan Along Kamaluddin itu kini bersiaran di TV3. Kata Shukri, selain kemalangan kecil di lokasi penggambaran, drama lakonan itu satu dimensi baharu dirinya. Menjadi pelakon bukan sekadar menghafal dialog dan melakonkan karakter yang tertulis dalam skrip, sebaliknya pemahaman dan persembahan yang seharusnya mengalir menjadi realiti di jiwa penonton.
"Melakonkan watak Firhad satu tuntutan emosi yang cukup tinggi buat saya. Karakter yang tertulis dalam skrip drama itu memberi ruang kepada saya untuk berkembang.
"Setakat ini, mungkin itulah lakonan terbaik yang pernah saya persembahkan. Tunjuk ajar pengarah sangat membantu sehingga Firhad menjadi sebahagian daripada diri saya,"tutur pelakon berumur 25 tahun ini berbunyi naif.
Biarpun masih meniti fasa pengenalan dalam bidang seni, kesungguhan dan kredibilitinya pantas mencuri perhatian. Tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin menerusi drama Perempuan Itu Ibuku satu petanda awal bahawa jalan seni yang datang tanpa ditagih itu sudah membuahkan harapan.
"Tercalon itu satu rahmat dan saya hadir ke acara anugerah itu sendiri satu pendedahan besar untuk saya. Boleh jumpa dan bertegur dengan penerbit dan pengarah yang selama ini saya hanya kenal daripada kerja mereka, dari situ jaringan sosial saya berkembang,"ujar Shukri yang bakal muncul menerusi drama Dendam 5 Beradik menerusi Astro Mustika.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: