ARUS muzik yang bersilih-ganti tidak pernah mematahkan semangat juang kumpulan rock legenda, Lefthanded walaupun sudah 34 tahun bertapak.
Lefthanded sedar peminat yang dahulunya sama-sama mengecapi zaman muda kini semakin dimamah usia. Namun, rock tidak akan mati.
Iramanya yang sudah sebati di jiwa ramai itu juga akan diterus dipuja dan menjadi hiburan sepanjang zaman. Tidak mustahil ada peminat generasi baharu yang meminati lagu-lagu rock era 1980-an dan 1990-an.
Popular dengan lagu-lagu malar segar Seruan, Ku Di Halaman Rindu dan Tiada Lagi Kidungmu, kumpulan yang diasaskan Johor Bahru pada 1979 itu bakal mengadakan konsert mini bertempat di Hard Rock Cafe, Melaka. Konsert yang akan berlangsung pada 22 Disember depan itu menjadi semangat baharu buat Lefthanded yang sudah hampir 15 tahun tidak menggegarkan bandar raya bersejarah itu.
Tidak muncul atas nama Lefthanded semata-mata, keakraban sejak di bangku sekolah serta persaudaraan sesama angkatan muzik rock tanah air, Lefthanded turut mengundang Mus, vokalis kumpulan May dan finalis Kilauan Emas musim ketiga, Silah untuk berkongsi pentas.
"Sudah pasti kemeriahan bersama rakan-rakan akan lebih merancakkan lagi konsert yang bakal diadakan nanti. Mereka semua ialah rakan karib serta penyanyi rock yang hebat.
"Insya-Allah, kami bakal membawakan 15 buah lagu yang popular dan sudah pasti lagu-lagu hit kumpulan Lefthanded akan berkumandang pada konsert tersebut," kata Nash, vokalis Lefthanded ketika ditemui pada majlis sidang media konsert berkenaan di ibu negara, Selasa lalu.
Tiada gimik pelaris namun kemunculan rockers legenda itu sendiri sudah menjanjikan sebuah persembahan yang dinanti-nantikan peminat, khususnya peminat di selatan tanah air.
"Kami tiada gimik atau kejutan tetapi menjelang konsert yang akan bermula sekitar pukul 9 malam itu, kami akan bertolak dari Kuala Lumpur secara konvoi dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi sampai ke Melaka. Sebelum konsert juga, kami akan adakan acara cabutan bertuah serta lelongan gitar yang merupakan cetusan idea saya dengan kerjasama Cathills Studio.
"Lelongan gitar yang akan dibida dengan harga serendah RM1,000 akan didermakan kepada mangsa-mangsa banjir," Man Kidal selaku gitaris Lefthanded pula memberikan penerangan.
Bercerita lanjut, kata Man Kidal, sebelum ini Lefthanded pernah mengadakan konsert bertempat di Hard Rock, Pulau Pinang. Konsert dengan corak serta skala persembahan yang hampir sama seperti yang dirancangkan di Melaka itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Jika diberi peluang, Lefthanded masih menyimpan harapan untuk muncul dalam sebuah konsert berskala lebih besar.
"Konsert yang diadakan seperti ini boleh menjadi satu bentuk persiapan kepada kami sekiranya mahu mengadakan konsert yang lebih besar seperti konsert orkestra.
"Kekurangan penajaan menghalang niat kami untuk mengadakan konsert yang besar kerana untuk menghasilkan satu konsert yang berprestij menelan kos sehingga jutaan ringgit," tegas Man Kidal sambil memberitahu, dia bakal mengeluarkan jenama gitar sendiri tidak lama lagi.
Tiket berharga RM70 dan RM80 untuk konsert istimewa Lefthanded pada 22 Disember nanti boleh didapati di kaunter Hard Rock Cafe Melaka atau menghubungi talian 06-2925188 untuk maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: