Monday, December 2, 2013

Suri rumah, kerani bawa pulang RM10,000

DEBARAN dirasai oleh sebahagian peserta peringkat akhir.


INISIATIF syarikat pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan terkemuka negara, Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestle) menganjurkan peraduan berkonsepkan kekeluargaan membuahkan hasil apabila program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat negara ini.
Peraduan Bonanza Hari Keluarga Malaysia Nestle yang bermula dari 1 hingga 30 September lalu berjaya mencatatkan 797,727 penyertaan dari seluruh negara.
Ia memberi peluang kepada para pengguna meraih hadiah bernilai lebih RM2.6 juta. Pertandingan yang dianjurkan sempena kempen Hari Keluarga Malaysia Nestle itu menggalakkan permuafakatan keluarga dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pertandingan itu menyaksikan seorang suri rumah, Roslina Rerah, 41, dari Temerloh, Pahang diumumkan antara 20 pemenang peringkat akhir yang membawa pulang wang tunai RM10,000.
Iklan dii akhbar
“Saya mengetahui mengenai peraduan ini menerusi iklan di akhbar. Saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia rezeki anak-anak,” katanya yang mempunyai lima cahaya mata.
Bagi seorang lagi pemenang, Shasithira Gaunseelan, 28, seorang kerani di sebuah institut memandu di Taiping, Perak yang memenangi wang tunai dengan jumlah sama tidak menyangka pelawaan kakaknya untuk menyertai peraduan itu membawa tuah kepadanya.
“Saya tidak sangka dengan kemenangan ini. Saya akan simpan wang tersebut dan sebahagian daripadanya dibelanjakan untuk membawa ibu bapa melancong,” katanya.
ROSLINA memanfaatkan wang dimenangi untuk pendidikan anak-anaknya.


Pusingan akhir yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini menyaksikan 30 peserta berentap dalam beberapa cabaran.
Kemuncak acara menyaksikan 20 peserta memenangi hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang manakala lima pemenang hadiah tempat kedua memenangi wang tunai RM6,000 setiap seorang dan lima pemenang tempat ketiga meraih wang tunai RM3,000 setiap seorang.
Bagaimanapun, tiada dalam kalangan 20 peserta akhir berjaya meraih hadiah utama bernilai RM100,000 selepas mereka gagal meneka dengan tepat lima bintang yang tersembunyi dalam 100 sampul semasa cabaran terakhir.
Ikatan kekeluargaan
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Serantau Nestle Malaysia dan Singapura, Alois Hofbauer dalam ucapannya turut mengaitkan kempen dan peraduan Bonanza itu dengan kepentingan membangunkan ikatan kekeluargaan yang kukuh.
“Kempen Hari Keluarga Malaysia Nestle adalah cara kami mendorong warga Malaysia supaya menghargai nikmat berkeluarga dengan makanan dan minuman berkhasiat kami selain aktiviti yang mampu mengeratkan ikatan kekeluargaan,” katanya.
Bagi meneruskan komitmen syarikat berkenaan dalam menyokong beberapa program memperkasakan institusi kekeluargaan, Nestle menyumbang sebanyak RM500,000 kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sumbangan itu diterima oleh Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika beliau hadir pada majlis sama baru-baru ini.
Nestle juga menyumbang sebanyak RM300,000 kepada 15 badan amal terpilih di negara ini dengan masing-masing menerima RM20,000 lanjutan daripada janji syarikat berkenaan untuk menderma RM1 bagi setiap penyertaan peraduan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: