Monday, December 9, 2013

Siti Nurhaliza Beri Sumbangan Mangsa Banjir Di Kuantan


Siti menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan, Pahang.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang bersimpati dengan nasib mangsa-mangsa banjir telah menghulurkan bantuan di dua buah pusat pemindahan banjir di Kuantan, Pahang iaitu di Sekolah Menengah Gudang Rasau dan Sekolah Kebangsaan Pandan pada Isnin.
Siti, 34, yang turut ditemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa telah menyumbangkan 700 pek barangan makanan dan keperluan asas seperti makanan dalam tin, lampin pakai buang, tuala wanita, ubat gigi, berus gigi dan syampu kepada mangsa di bencana alam berkenaan.
"Alhamdulillah perancangan untuk membantu mangsa banjir terlaksana dan berharap sumbangan kecil itu dapat meringankan beban mereka pada waktu ini.
Siti tidak kekok untuk beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir.
"Biarpun keadaan sudah beransur pulih namun ramai di antara mereka yang masih belum dapat pulang ke rumah dan bantuan barangan asas amat bermakna buat mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Siti memberitahu sumbangan itu dibuat dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa dan syarikat kosmetik miliknya, SimplySiti.
Dalam pada itu Siti berkata, dia bersyukur urusan untuk memberikan bantuan berjalan lancar dengan keadaan banjir semakin pulih dengan cuaca baik.
Sebak... Seorang ibu sebak apabila Siti menghulurkan bantuan kepada keluarganya.
Siti turut menyeru individu atau pun syarikat korporat terus menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir supaya keadaan mereka lebih selesa dan teratur.
"Alhamdulillah cuaca amat baik pada hari ini (Isnin). Selain menghantar barang bantuan kepada mereka, saya juga sempat beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan.
Sementara itu, Siti turut memuat naik beberapa keping gambar ketika berada di dua buah kawasan tersebut di laman Instagram miliknya sebaik selesai memberikan sumbangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: