Monday, December 9, 2013

Sharnaaz Ahmad Mahu Bergelar Pelumba Motosikal


Sharnaaz sudah lama menyimpan hasrat untuk bergelar pelumba motosikal profesional.
PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad memberitahu dia berhasrat merealisasikan cita-citanya untuk bergelar pelumba motosikal profesional yang dipendam sejak kecil.
Sharnaaz, 28, berkata, dia sudah menjalani latihan di Litar Sepang sejak beberapa bulan lalu dan mengakui bukan mudah untuk mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.
"Saya memang sudah lama minat untuk menjadi pelumba motosikal tetapi hasrat itu masih belum tercapai namun kini saya sudah mula menjalani latihan dan sukan ini sangat menyeronokkan.
"Setakat ini saya masih baharu lagi menjalani latihan dan ternyata bukan mudah untuk menjadi seorang penunggang profesional selain banyak perkara yang saya pelajari," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Sharnaaz berkata, selain pengendalian yang betul, ciri-ciri keselamatan juga perlu diberi fokus supaya tidak berlaku sebarang kemalangan tidak diingini.
"Apa-apa pun keselamatan paling penting dan perkara itu sangat diutamakan kepada semua pelumba," ujarnya.
Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia juga berhasrat untuk kembali kepada kerjaya lamanya iaitu dalam bidang hartanah selepas mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan.
Bagaimanapun kata Sharnaaz, buat masa ini dia masih lagi mempertimbangkan keputusannya itu kerana dia masih mempunyai beberapa lagi projek yang perlu diselesaikan sebelum bersara.
"Saya sayangkan dunia lakonan tetapi dengan pelbagai kontroversi yang melanda membuat saya nekad dengan keputusan itu. Bagaimanapun saya tidak boleh pentingkan diri kerana masih ada beberapa projek perlu diselesaikan," katanya.
Sharnaaz bakal muncul dengan drama terbaharunya berjudul Bukan Kerana Aku Tak Cinta bergandingan dengan Nelydia Senrose bermula hari ini (Isnin) di saluran Mustika HD 134.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: