- Tanah runtuh menghalang laluan anggota ke Kompleks Radar Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam.
Demikian kata Laskar Udara Kanan, Azar Azami, 30, iaitu saksi kejadian tanah runtuh di Kilometer 9 Jalan Bukit Pemandang, Bukit Ibam, dekat sini, Ahad lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang ketika dia dalam perjalanan ke Kompleks Domestik Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam.
“Kejadian berlaku agak pantas, pada mulanya kelihatan pokok balak menggelongsor laju dan diikuti bongkah batu serta tanah lumpur memenuhi laluan terbabit.
“Timbunan tanah setinggi kira-kira tiga meter merintangi jalan tersebut sekali gus menghalang anggota skuadron menjalankan tugasan harian di Kompleks Radar Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam,” katanya.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca akibat hujan berterusan lebih seminggu yang menyebabkan aliran air bawah tanah meningkat menjadikan struktur tanah di kawasan tersebut tidak stabil.
Azar berkata, kawasan tanah runtuh ini juga adalah satu-satunya laluan antara kompleks domestik dengan kompleks radar.
“Kejadian itu telah menyekat penghantaran bekalan makanan kepada petugas di Kompleks Radar Skuadron 322 selain menyebabkan dia bersama sembilan anggota lain terperangkap di Kompleks Domestik Skuadron 322,” katanya.
Turut hadir memantau tempat kejadian, Pegawai Memerintah Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam, Leftenan Kolonel Md Rizam Ahmad TUDM dan wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Rompin.
Md Rizam berkata, kerja membersihkan tanah runtuh tidak dapat dimulakan walaupun jentera berat ditempatkan di sini berikutan gelinciran tanah masih berlaku sekali gus memungkinkan runtuhan susulan.
Sementara itu, Penyelia tapak, Wan Mohd Firdaus Wan Abdul Rashid, 24, memaklumkan sasaran awal mereka adalah membuka jalan sementara untuk memudahkan petugas di kompleks radar menjalankan tugas.
Menurutnya, JKR Rompin mengarahkan kontraktor dari YP Maintenance untuk membersihkan tanah runtuh setelah penilaian awal dibuat.
“Kerja pemulihan semula cerun yang runtuh akan mengambil masa kira-kira dua minggu dengan menggunakan jengkaut dan dua lori pengangkut untuk membuka laluan awal.
“Setelah laluan awal dibuka, kami akan menambah beberapa jentera berat bagi mempercepat kerja pembersihan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: