Monday, December 9, 2013

Konsert percuma Versus Jam


SEBAHAGIAN pemuzik yang akan terlibat dengan Versus Jam pada 21 Disember ini di Setia City Park, bergambar kenangan selepas majlis sidang akhbar baru-baru ini.


SELAMA dua musim program Versus berlangsung, program realiti TV9 itu membawa satu perspektif baharu dalam dunia seni tanah air.
Band tempatan yang diasak dengan tekanan kreativiti jelas membuktikan bahawa mereka mampu mencetuskan evolusi muzik yang lebih segar dan bijak.
Menyaksikan band Hujan menjadi juara musim pertama dan Menifesto pada musim kedua, Versus merupakan salah satu program realiti yang menjadi tumpuan.
Atas dasar itu, Hot FM sekali lagi berkolaborasi dengan TV9 bagi membawakan konsert yang diberi nama Versus Jam, sempena dengan kolaborasi Versus dan Hot FM pada 21 Disember ini di Setia City Park.
Konsert Versus Jam itu akan menampilkan lima buah band dari Versus musim pertama dan kedua seperti Manifesto, Kristal, Kyoto Protocol, Oh Chentaku dan Hujan.
Lebih menarik, tiga artis popular tanah air iaitu band Hyper Act, Awi Rafael dan ratu rock tanah air, Ella turut menghangatkan pentas.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd. Tahrim, pembabitan tiga nama popular itu dibuat kerana ingin memberi satu kelainan kepada konsert tersebut.
“Walaupun Ella, Hyperact dan Awi Rafael bukan artis Versus, tetapi mereka juga kena lakukan elemen-elemen seperti Versus dalam lagu yang akan dinyanyikan pada malam itu.

OH CHENTAKU bersedia menghiburkan peminat dengan muzik segar mereka.


“Saya sangat berbesar hati apabila Ella bersetuju untuk terlibat dalam konsert ini. Begitu juga Awi dan Hyper Act yang terkenal dengan lagu-lagu mereka,” ujar Anida ketika ditemui pada majlis tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Konsert yang diadakan secara percuma itu akan menampilkan gabungan Ella bersama Manifesto, Kristal dan Hyper Act serta Oh Chentaku berpadu dengan Awi Rafael.
Menampilkan pengacara Aidid Marcello dan Hunny Madu, jelas Anida lagi, konsert tersebut juga diadakan bagi memberi penghargaan kepada peminat-peminat Versus selama ini.
“Versus Jam bakal menjadi satu penanda aras dan inspirasi kepada band yang baru memulakan tapak mereka di dalam industri tanah air.
“Konsert ini menjanjikan satu kelainan dari segi muzik untuk dinikmati bersama dan kami yakin kelima-lima band ini sudah bersedia untuk menghangatkan pentas Versus Jam dengan kehebatan masing-masing,” ungkapnya.

MANIFESTO teruja untuk kembali beraksi bersama dalam konsert Versus Jam.


Sementara itu, Tomok yang menerajui band Manifesto dalam Versus menganggap, kolaborasi bersama Ella di pentas Versus Jam nanti merupakan perhormatan kepada mereka.
Tutur Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail lagi, selain konsert tersebut Manifesto juga baru mengeluarkan single bertajuk Jiwa Besi berserta klip video single tersebut.
“Insya-Allah pertengahan tahun depan album penuh Manifesto yang menampilkan tiga lagu dalam Versus akan keluar di pasaran. Antara lagu-lagu tersebut adalah Ombak Rindu, Biar Putih Tulang dan Titian Perjalanan,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai klip video Jiwa Besi, ia akan menampilkan pelakon popular Yana Samsudin.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Versus Jam 21 Disember ini pukul 8.30 malam di Setia City Park.
Bagi mereka yang berada di luar Lembah Klang dan terlepas untuk menonton secara langsung konsert ini, TV9 akan menyiarkan konsert itu pada 31 Disember selama dua jam sebagai penutup tirai tahun 2013.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: