Monday, December 9, 2013

Cinta pandang pertama Icona Pop


BERASAL dari Sweden, Icona Pop gembira kerana mereka kini tidak hanya terkenal di negara kelahiran, sebaliknya dikenali seluruh dunia.


DUO yang diberi nama Icona Pop ini dianggotai oleh dua wanita Caroline Hjelt and Aino Jawo. Menariknya, mereka tidak pernah menyangka akan menjadi fenomena dan dikenali di serata dunia.
Penglibatan mereka dalam industri juga merupakan satu momen yang terjadi secara kebetulan.
Tidak dinafikan, single pertama mereka yang berjudul I Love It dan yang terbaharu Girlfriends sering menjadi siulan peminat muzik dan dari situ, nama Icona Pop juga meniti di bibir peminat selain menantikan persembahan mereka.
Mula melibatkan diri dalam bidang muzik sebagai sepasang duo, bicara dua wanita tinggi lampai ini, tidak sangka pertemuan di dalam kelab beberapa tahun lalu, membuatkan mereka mengecapi ‘dunia’ yang diperoleh kini.
“Pada tahun 2009 kami telah bertemu di dalam sebuah kelab di Sweeden. Dari situ kami berkenalan dan terus berbicara tentang menjadi sebuah kumpulan duo. Ia kedengaran seperti mudah, bertemu dan membina sebuah kumpulan.
“Mungkin ya, kerana pada saat bertemu, kami cepat mesra dan serasi. Kami mula bersembang dan kami rasa perlu lakukan sesuatu bersama. Selepas itu, kami mula menulis sebuah lirik dan menulis tentang kehidupan daripada pengalaman kami,” ungkap Aino panjang lebar tentang detik pertemuan dan penubuhan Icona Pop pada sidang akhbar mengenai single mereka di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur baru-baru ini.
ICONA POP kini hangat dengan single terkini mereka, Girlfriends.


Tambahnya lagi, penyatuan mereka seperti cinta pandang pertama. Ketika bersama tidak kiralah ketika bekerja mahupun di luar waktu bekerja, mereka rasa selesa dan gembira membuatkan apa yang ingin dilakukan. Malah, hampir tidak berhadapan dengan masalah sepanjang bekerjasama.
Sementara itu, bercerita tentang kewujudan nama Icona Pop itu sendiri, cerita Aino, nama tersebut hadir secara kebetulan daripada ibu Caroline.
“Sebenarnya nama tersebut kami dapat daripada ibu Caroline. Ceritanya, dia sedang menikmati makan malam bersama rakannya dari Itali, dan mereka sedang bercakap tentang kami. Secara tiba-tiba muncul soalan yang berbunyi adakah kami akan menjadi ikon pop yang seterusnya?
“Dalam bahasa Itali ia dipanggil Icona Pop. Memang kebetulan juga, kami sedang mencari nama untuk duo kami. Sejujurnya, kami rasa memang sukar untuk mencari nama yang sesuai dengan kami,” tutur Aino dan Caroline sama-sama menjawab soalan yang diajukan pihak media itu.
Parti
Bercakap tentang kehidupan mereka, dua wanita yang berasal dari Sweeden itu mengaku mereka gemar berparti. Kata Caroline, itu merupakan antara sebab mereka mampu mengekalkan stamina.
“Kami sebenarnya gemar berparti dan menari. Itu sebenarnya merupakan salah satu perkara yang membolehkan kami mengekalkan stamina.
“Bagaimanapun, bukanlah hari-hari kami berparti. Ada masa tertentu dan kami juga menyusun jadual untuk memberi kelancaran dalam kehidupan seharian. Selain itu, kami mengamalkan pemakanan yang sihat untuk kekal cergas,” tutur mereka yang juga gemar dengan cuaca dan masyarakat di Malaysia.
Pengalaman empat tahun dalam industri muzik banyak memberi mereka momen menarik untuk diabadikan. Tambahan pula, setelah menempa populariti, mereka sering diundang untuk mengadakan persembahan di beberapa buah negara.

CAROLINE HJELT and Aino Jawo tidak sangka menjadi popular selepas menubuhkan duo dengan nama Icona Pop pada tahun 2009.


Ketika diajukan persoalan tentang pengalaman berharga yang dikutip sepanjang bergelar penyanyi, tutur Aino dan Caroline berkongsi cerita, persembahan sulung di Paris sekitar empat tahun lalu merupakan ingatan yang paling indah berlaku dalam perjalanan karier mereka setakat ini.
“Kami rasa pengalaman paling berharga ialah ketika pertama kali mengadakan persembahan di luar Sweeden. Ketika itu kami di Paris, dan kami teruja kerana ada orang yang menaja kami untuk ke sana. Ia sebenarnya satu momen yang sangat indah.
“Bukan itu sahaja, setiap hari juga merupakan pengalaman yang berharga buat kami dan bertuah kerana mempunyai peminat yang menyokong Icona Pop sehingga kami dapat pergi ke serata dunia,” akhiri duo Icona Pop yang teruja ingin kembali ke Malaysia pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: