• Kelainan produk jadi tarikan  Norhayati bersama kuih bakar tradisi Kelantan yang dujualnya di pasar tani sekitar Selangor.

SIAPA sangka menjual kuih bakar tradisional Kelantan seperti akok, cara berlauk dan bingka pulut mampu membantu menjana pendapatan.

Bermodalkan RM4,500 ketika memulakan operasi perniagaannya pada 1997 dengan menggunakan hanya peralatan khas dipanggil koya-obar, kini Norhayati Yaacob, 55, telah memiliki lima buah peralatan itu dengan bermodalkan RM20,000 dan sehingga kini dia berupaya menjual kuih muihnya sekitar Selangor di Putrajaya, Bangi, Kajang dan Shah Alam.

"Saya memang minat berniaga, dengan minat itulah saya nekad berusaha meningkatkan jualan kuih bakar ini.

"Tidak susah berniaga kuih bakar ini cuma memerlukan modal banyak untuk mendapatkan peralatan memasaknya," katanya yang merupakan salah seorang pemenang 50 idea terbaik Program Gigih.

Menurutnya, keistimewaan kuih bakar miliknya adalah kerana ia dijual ketika panas pada harga berpatutan iaitu RM1 bagi tiga biji kuih.

 Katanya, selain menjualnya di pasar tani, kuih tradisi itu juga dijual untuk tujuan tempahan bagi kuantiti yang banyak.

Dengan usaha gigih bekerja sepenuh masa mengusahakan jualan kuih warisan itu, Norhayati mampu membantu keluarganya dengan menjana pendapatan purata RM3,00 sebulan.

Sementara itu, usaha penternak ayam kampung, Noor Azam Mohd Sohor, 33,  menghasilkan baja haiwan yang berupaya menggalak tumbesaran, selain efektif dalam menghindari penyakit juga suatu pencapaian membanggakan.

Dihasilkan pada 2011 di bawah syarikat Norafina Enterprise yang beroperasi di Teluk Intan, produk keluarannya itu mula dipasarkan di pasar tani sekitar Perak dan telah menembusi pasaran Brunei secara atas talian.

“Pendedahan sebagai peserta di Institut Kemajuan Ternakan Ayam di Johor Bahru membawa kepada penemuan terbaru dalam penjagaan dan penternakan haiwan yang kini mula popular di kalangan pemilik ayam kampung, kucing dan burung kakak tua.

 “Selain mampu meningkatkan mutu ternakan dan menghindari penyakit, keberkesanan produk menggunakan campuran sisa makanan seperti kelapa, daun pandan, jagung sawit dan ibu gula ini boleh dikesan seawal tiga hari penggunaan,” katanya.