Sunday, December 15, 2013

Emas pengubat kecewa Praveen

PRAVEEN meraih pingat emas dalam acara dressage individu semalam sekali gus mengubati kekecewaannya selepas gagal dalam acara berpasukan kelmarin.


NAY PYI TAW, Myanmar - Atlet ekuestrian negara, Praveen Nair Mathavan tidak berdepan masalah menjinakkan kuda yang bernama Sen Win Mal untuk memenangi pingat emas dalam acara dressage individu semalam.
Pada aksi di Pusat Ekuestrian Wunna Theikdi itu, Praveen, 16, turut memberikan arahan yang baik kepada Sen Win Mal untuk mencatat mata kedua terbaik keseluruhan dalam acara berpasukan.
Praveen mencatat 67.405 peratus bagi mengenepikan dua atlet Indonesia, Velentino Lumentah yang meraih perak (66.432%) manakala seorang lagi Ferry Wahyu Hadiyanto meraih gangsa (64.108%).
Pingat emas itu berjaya mengubat kekecewaan Praveen yang gagal membantu pasukan memenangi sebarang pingat alam acara dressage berpasukan kelmarin.
Pelajar Sekolah Antarabangsa Nexus Putrajaya itu berkata, dia gembira dengan prestasi Sen Win Mal walaupun itu adalah kuda pinjaman yang disediakan oleh tuan rumah kerana pada temasya kali ini atlet tidak membenarkan menggunakan kuda sendiri.
"Sebelum acara ini bermula, kami telah mencuba pelbagai kuda sesama sendiri. Jadi saya pilih kuda ini kerana ia sesuai dengan saya. Saya mengambil masa dua hari untuk melatihnya dan kami berjaya menyesuaikan diri dengan baik," katanya.
Praveen yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA gembira dengan kejayaan membantu persatuan melepasi sasaran dua emas.
Sekiranya berjaya meraih satu lagi pingat emas, ia dianggap bonus walaupun mereka tidak berada dalam sasaran 40 emas yang diletakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada temasya kali ini.
Ketika ditanya bagaimana dia boleh terlibat dengan sukan ini, Praveen berkata, ibu bapanya sudah menggalakkan dia menyertai acara ini sejak usia 10 tahun lagi sebagai salah satu aktiviti di luar sekolah.
"Saya ingin menghadiahkan pingat emas ini kepada kedua-dua ibu bapa dan jurulatih saya, Chris Ladvrook dari New Zealand yang sudah enam tahun bersama saya," katanya.
Selepas ini, Praveen akan menunggu peluang untuk disenaraikan bagi Sukan Olimpik Remaja tahun depan dan keputusannya akan diketahui pada Oktober depan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: