Sunday, December 8, 2013

Diana Bong genggam emas

DIANA BONG muncul atlet pertama negara meraih pingat emas pada Sukan SEA 2013 menerusi acara wusyu yang berlangsung di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A, Nay Pyi Taw, Myanmar semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar – Ratu wusyu negara, Diana Bong Siong Lin menghadiahkan pingat emas pertama kontijen Malaysia selepas menjuarai acara nanquan wanita semalam.
Pada aksi di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A itu, Diana , 28, dari Sarawak berjaya mengutip 9.70 mata untuk menewaskan atlet Vietnam, Bui Minh Phuong (9.68 mata) bagi pingat perak, manakala seorang lagi atlet Malaysia, Tai Cheau Xuen membawa pulang pingat gangsa (9.67 mata).
Kejayaan itu berjaya mengubat kekecewaan Diana yang terlepas pingat emas pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia selepas merangkul satu pingat emas masing-masing di Korat, Thailand (2007) dan Vientiane, Laos (2009).
“Perasaan saya sangat gembira kerana berjaya menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia. Kejayaan ini menebus kekecewaan saya pada edisi tahun lalu,” kata Diana.
Ketika ditanya mengenai perasaannya sebelum memasuki gelanggang semalam, Diana berkata, dia berasa sedikit gementar terutamanya apabila memikirkan mengenai sasaran pingat emas pertama negara.
“Bagaimanapun, selepas memasuki gelanggang, saya tidak fikir perkara lain. Saya memberikan sepenuh tumpuan sepanjang beraksi selama satu minit 20 saat.
“Saya sangat berdebar ketika menunggu juri memberikan markah. Apabila saya melihat jumlah mata yang saya peroleh di papan markah, saya yakin saya akan dapat pingat emas,” katanya.
Diana yang membuat penampilan keempat pada temasya dwitahunan ini berkata, dia berada pada prestasi terbaik dan yakin untuk mengutip satu lagi pingat emas dalam acara nandao dan nangun yang akan berlangsung hari ini dan esok.
Kegembiraan Diana turut dikongsi dua lagi rakan sepasukannya iaitu Cheau Xuen dan Phoon Eyin apabila masing-masing berjaya memenangi pingat gangsa.
Cheau Xuen, 22, dari Negeri Sembilan terpaksa akur dengan kehebatan Diana dalam acara nanquan.
Phoon Eyin yang mengutip 9.46 mata pula tewas kepada atlet Vietnam, Duong Thuy Vi (9.70 mata) untuk pingat emas dan Sandy Oo dari Myanmar (9.69) bagi pingat perak.
Sementara itu, impian dua atlet wusyu lelaki negara, Yeap Wai Kin dan Wong Weng Son untuk menaiki podium tidak kesampaian selepas kecundang dalam acara changquan.
Wai Kin sekadar mengutip 9.65 mata untuk menduduki tempat ketujuh, manakala Weng Son yang mengumpul 9.64 mata berada di tempat kesembilan.
Pingat emas dalam acara ini dimenangi atlet Myanmar, Thu Aung Si (9.70 mata) diikuti Hulaefi Achmad dari Indonesia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: