BUKAN dahagakan kontroversi tetapi Dafi mengakui perjalanan karier seninya sepi daripada cerita panas. Dia sedia maklum bahawa kontroversi adakalanya menyakitkan namun pada masa yang sama boleh mencetuskan perhatian khalayak terhadap seseorang artis.
Kontroversi boleh hadir dalam pelbagai acuan. Tidak mustahil, ada juga kontroversi tercipta atas kepentingan satu-satu pihak.
Lain pula kisahnya dengan Gadaffi Ismail Sabri atau selesa disapa Dafi. Sewaktu di Akademi Fantasia, dia salah seorang peserta yang popular, mungkin kerana memiliki wajah jambu serta penampilan yang bergaya. Namun sejak kebelakangan ini, Dafi seperti tidak menonjol. Kelibatnya ada namun tiada faktor 'wow.'
Tiada kontroversi kisah cinta atau latar belakang sebagai anak orang kenamaan barangkali penyebab kepada populariti Dafi yang sekadar mendatar. Kini, Dafi yang berumur 25 tahun menyifatkan perjalanan seninya sebagai membosankan.
"Selama enam tahun dalam industri, saya merasakan karier nyanyian saya agak membosankan namun tetap bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang.
"Dahulu saya seorang yang sering berasa takut-takut dan pemalu untuk berhadapan dengan wartawan dan peminat tetapi kini saya lebih kepada menjadi diri sendiri dan matang.
"Saya tidak suka berselindung kerana setiap pergerakan akan sentiasa diperhatikan dan lambat-laun masyarakat akan mengetahuinya," kata Dafi ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta alat tulis S Liner dan pradengar single terbaharunya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tidak mudah berputus asa demi mengejar cita-cita untuk menjadi penyanyi berjaya, Dafi mengakui dia telah sedaya upaya cuba menambat hati peminat menerusi bakat tanpa bersandarkan kontroversi.
"Rasanya saya dikenali tanpa kontroversi, lagi pun saya selesa menjadi diri sendiri yang lebih rileks," katanya.
Dafi kini tampil dengan single kedua bertajuk Dalam Hati Ini lebih mempamerkan sisi kematangannya seiring dengan usia. Lagu nyanyiannya Bila Terasa Rindu pernah menjadi hit di radio.
"Jika dahulu lagu yang saya bawakan sesuai dengan umur saya 19 tahun tetapi kini saya mahukan sesuatu yang lebih mencabar dan memilih genre lagu yang matang.
"Peminat saya membesar dengan muzik saya dan harap mereka akan menyokong konsep lagu yang saya tampilkan kali ini," ujar yang baru-baru ini mencipta nama di Indonesia sebagai pengacara dan pelakon.
Dafi kini dalam rangka strategi untuk mengembangkan sayap yang lebih di Indonesia khususnya dalam bidang nyanyian.
Pemenang tempat ketiga di Festival Muzik Iasi di Romania itu bercadang untuk meneroka negara berkenaan pada tahun hadapan sebagai satu jalan mencari peluang dan menapak di sana.
"Tahun ini saya banyak menghabiskan masa untuk merakamkan album baharu saya di sini. Saya juga mahu terbang semula ke Indonesia pada tahun hadapan untuk mencari lagu baharu dan mengembangkan karier di sana.
"Setakat ini sudah ada beberapa syarikat rakaman yang mempelawa untuk menjadi artis naungan mereka serta menawarkan lagu baharu.
"Kenalan sewaktu menjadi pengacara dan teman duet, Gita Gutawa juga bersedia menawarkan peluang untuk saya ke sana lagi," ujarnya.
Dalam usia yang menjangkau 25 tahun, Dafi mahu terus menjadi anak seni yang berjaya. Dia sentiasa mencabar dirinya dan mengikut perkembangan muzik semasa. Percubaan demi percubaan dilakukan demi mengikut selera pendengar agar terus bertahan dalam arena muzik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: