KHALAYAK bagaikan terpukau apabila dua penyanyi hebat Indonesia iaitu Firman dan Charly daripada Setia Band (dulunya mantan vokalis kumpulan ST12) bergabung tenaga menyanyikan lagu popular Kehilangan.
Persembahan yang boleh diibaratkan sebagai persembahan antara mentor dan protege itu telah mengambil tempat di KL Life Center, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Sememangnya lagu popular Kehilangan yang dicipta oleh Charly atau nama sebenarnya Charly Van Houten dan dinyanyikan oleh Firman itu benar-benar membuai perasaan lebih 1,000 peminat yang hadir ke konsert mereka pada malam itu.
Lagu Kehilangan yang menjadi lagu penutup konsert mereka pada malam itu juga menyaksikan Charly sujud mengadap peminat-peminatnya dengan ucapan terima kasih. Turut hadir ke konsert Charly dan Firman pada malam itu juga adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menyingkap mengenai konsert Charly Setia Band vs Firman yang berlangsung selama dua jam itu, ia dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 8, Adira.
Menyanyikan lagu-lagu hitnya seperti Dewi Cinta dan Ombak Rindu, Adira seterusnya menjemput penyanyi Firman ke pentas untuk bersama-sama menyanyikan lagu hit penyanyi kelahiran Indonesian Idol itu iaitu Jangan Pikirin Abang. Ternyata paduan suara nyaring Adira dengan suara serak basah Firman begitu serasi.
Usai persembahan tersebut, Firman mengambil alih pentas menghiburkan peminatnya. Bapa kepada seorang anak yang bernama Diamond Siggy Siagian, lapan bulan itu menyampaikan lagu single terbaharunya, Hati Batu. Persembahan Firman diteruskan dengan rangkaian lagu-lagu Inggeris popular seperti I Want To Break Free dan It's My Life.
Malam konsert tersebut bertambah hangat apabila Charly dan bandnya, Setia Band muncul membuat persembahan. Peminat yang sememangnya menunggu kehadiran Charly bersorak dan turut menyanyi bersama penyanyi itu yang mendendangkan lagu-lagu sebanyak 15 buah lagu daripada album Setia Band dan juga lagu-lagu dari album ST12.
Antara lagu dendangan Charly adalah seperti Terlalu Indah dan lagu Jangan Pernah Berubah, yang pernah popular di Malaysia satu ketika dulu.
Bukan itu sahaja, Charly juga menyanyikan lagu Biarkan Jatuh Cinta, Puspa, Cari Pacar Lagi, Asmara dan Saat Terakhir.
Charly, pelopor yang membawakan muzik pop Melayu itu turut menyanyikan lagu popular Melayu seperti Rindu Serindu Rindunya (nyanyian asal kumpulan Spoon) dan juga lagu popular kumpulan Search, Isabella dengan kreativiti dia sendiri.
Sedikit mengenai dua penyanyi Indonesia itu. Barangkali nama Firman, 35, tidak perlu diperkenalkan lagi sementelah dia begitu popular menerusi lagu Kehilangan dan Jangan Pikirin Abang di Malaysia. Namun, bagi Charly, 31, nama itu mungkin sedikit asing.
Bermula dengan band ST12 yang popular dengan lagu Puspa dan Putih-Putih Melati pada tahun 2004 itu, vokalisnya Charly dan pemain gitarnya, Pepeng mengubah haluan dengan meninggalkan band popular Indonesia itu dengan menubuhkan kumpulan baharu iaitu Setia Band pada tahun 2011.
Charly dalam kenyataannya sebelum ini pernah menyuarakan perjuangannya membawakan lagu-lagu pop Melayu.
Katanya: “Selagi ada orang Melayu, selagi itu pop Melayu dapat bertahan dalam industri muzik.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: