|
Bertahan satu cinta,
Bertahan satu C.I.N.T.A.
DUA baris lirik lagu C.I.N.T.A nyanyian band dari daerah Malang, Indonesia itu mudah saja melekat dalam jiwa pendengar muzik pop di Malaysia.
Biar judul dan lirik yang menyebut satu persatu perkataan C.I.N.T.A itu pernah dibikin oleh kumpulan XPDC sekitar era 1990-an sebelum ini, irama baharu yang diterapkan dalam eksotika muzik D’Bagindas tidak melumpuhkan energinya untuk disalurkan dalam kelompok masa kini.
Lagu C.I.N.T.A sebenarnya telah dilancarkan pada tahun 2010 menerusi album pertama band D’Bagindas yang diberi judul C.I.N.T.A.
Ujar Michael Christian (Mike), selaku pemain keyboard dan komposer semua lagu nyanyian band tersebut, lagu C.I.N.T.A dimasukkan kembali dalam album kedua D’Bagindas, Yang No. 1 memandangkan single itu mendapat sambutan luar jangka.
“Lagu C.I.N.T.A sebenarnya mula hit pada ketika kami sedang dalam proses pembikinan album kedua kami, Yang No. 1. Atas dasar itu kami memasukkan semula lagu itu dalam album terbaharu sebagai trak bonus,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar dan showcase D’Bagindas di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menyingkap keistimewaan band yang dianggotai oleh empat anak muda yang terdiri daripada Dian Purnama, Beni Rianto, Dandy dan Mike itu, kata Mike inspirasi muzik mereka dipengaruhi oleh irama dangdut, keroncong, blues, dan country sekitar tahun 1980-an.
“Album pertama kami dipengaruhi elemen muzik seperti keroncong dan dangdut daripada penyanyi-penyanyi sebelum kami, kemudian album keduanya lebih moden dan lebih banyak elemen pop Melayu.
“Tapi untuk album ketiga yang bakal dipasarkan awal tahun depan, kami kembali kepada muzik asal iaitu pop 1980-an,” ujar Mike yang turut menjadikan kumpulan Slam dan Search idola muzik dari Malaysia.
Ditanya mengapa perlu mengambil masa terlalu lama untuk mempromosikan single hit C.I.N.T.A di Malaysia, jawab Dandy, disebabkan jadual yang terlalu padat di Indonesia memaksa mereka menangguhkan jadual promosi di negara lain.
“Kami terlalu sibuk dengan konsert dan showcase selepas melancarkan album pertama, kemudian proses rakaman album kedua pula diteruskan dan sehingga detik ini kami baru mendapat ruang waktu bertemu peminat di Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, Dandy menjelaskan Yang No. 1 dipilih sebagai judul album kedua D’Bagindas ekoran aura positif daripada salah sebuah single dalam album kedua mereka yang menggunakan judul sama.
“Album ini merupakan bahagian pertama daripada dua album yang kami garap sekali gus tapi akan dikeluarkan secara berasingan dalam Volume 1 dan Volume 2.
“Selain ingin menunjukkan album ini merupakan album edisi pertama Yang No. 1, kami mengharapkan agar lagu-lagu dalam album ini mampu menjadi nombor satu seperti mana tajuk albumnya,” tambahnya.
Album Yang No. 1 menyajikan lima buah lagu baharu termasuk empat buah trak bonus iaitu Marhaban Ya Ramadhan serta tiga buah trak daripada album pertama, Suka Sama Kamu, Kangen dan C.I.N.T.A.
Lima buah lagu baharu yang dibikin untuk dimuatkan dalam Volume 1, Yang No. 1 ialah Hidup Tapi Mati, Ay, Maafkan, Yang No. 1 dan Sendu.
Ujar vokalis band itu, Beni Rianto atau Bian, proses pembikinan album kedua mereka mengambil masa selama lima hari saja.
“Mungkin kerana semangat kami sedang berkobar-kobar, maka album ini dibikin dalam tempoh yang singkat saja iaitu lima hari di studio rakaman.
“Sebetulnya, masa untuk penyediaan album ini sudah lama jadi, ketika sesi rakaman semuanya sudah bersedia dan proses itu sangat cepat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: